Sunday, 10 May 2015

Naratif 2 (WDL)

Tulis sebuah cerita bagaimana seseorang yang mengalami kesukaran untuk menghuraikan dilema yang dihadapinya namun berjaya juga akhirnya.

           Semakin hari semakin keliru. Nazim sukar membuat keputusan yang wajar. Walaupun dia sudah mendapatkan pendapat daripada keluarga dan rakan-rakannya mengenai dilema yang dialaminya, dia masih kurang pasti untuk membuat keputusan. Dia telah mendapat satu peluang keemasan iaitu berlakon di Hollywood. Namun, kepergiannya akan memakan masa yang lama. Mungkin   hampir setahun. Nazim seorang anak tunggal.  Dia hanya tinggal bersama ibu yang sangat disayanginya. Ayahnya pula meninggal dunia dua tahun yang lalu.
               
Amanah arwah ayahnya yang berpesan agar dia menjaga ibunya harus dia patuhi. Sebagai anak yang soleh, dia harus memikul tanggungjawab ini. Mentelah lagi ibunya sering jatuh sakit sejak kebelakangan ini. Disebabkan ibu yang sangat dikasihi, Nazim berasa berat hati untuk meninggalkan ibunya bersendirian. Sedangkan beberapa hari sudah terasa berat, apatah lagi jika setahun.

Walau bagaimanapun, Nazim mempunyai minat yang mendalam dalam bidang lakonan. Bak kata peribahasa, kuat ketam kerana sepit, kuat burung kerana sayap, begitulah Nazim. Bakatnya dalam bidang lakonan amat menyerlah. Bidang lakonanlah tempatnya meluahkan perasaan dan menunjukkan kebolehannya. Bidang lakonan jugalah tempat dia mencari rezeki. Jika dia meneruskan hasratnya ke Hollywood, Nazim pasti akan menimba pengalaman yang amat berharga dan kemungkinan mendapat tawaran untuk berlakon dalam filem yang lebih hebat. Tidak ramai pelakon Asia yang mendapat peluang seperti ini. Di sebaliknya, jika dia pergi, ibunya pasti bersendirian. Ibunya pasti akan kesayuan dan keseorangan. Nazim tidak tega melihat keadaan ibunya jika begitu. Dia sukar memilih antara dua pilihan ini. Dia dilanda dilema.
               
Teman-teman dan saudara-mara telah memberi pandangan mereka terhadap pertanyaan yang selalu ditanya Nazim. Haruskah dia pergi ke Hollywood? Patutkah dia meninggalkan ibu tercinta ? Sanggupkah dia berbuat begitu? Ibarat ditelan mati emak diluahkan mati bapa, Nazim kebingungan. Buntu. Bimbang. Fikirannya berkecamuk.

Semasa di rumah Nazim sering melihat senyuman kegembiraan yang terukir di raut wajah ibunya. Nazim tidak mahu senyuman itu sirna.

                ‘Ibu, jika Nazim pergi jauh ke Hollywood untuk sementara waktu, adakah ibu mengizinkan?’ tanya Nazim dengan lembut.

                ‘Jika Nazim ingin pergi demi cita-cita Nazim, ibu tidak akan menghalang,’ jawab ibu ringkas lalu masuk ke kamarnya.

                Nazim tahu isi hati ibunya di sebalik jawapan itu. Daripada raut wajah ibunya, tersirat perasaan pilu yang menusuk kalbu.

Pada suatu hari, Nazim telah menonton sebuah filem yang menceritakan tentang kehidupan seorang anak yang sanggup meninggalkan ibu bapanya akibat mabuk kepayang terhadap temanitanya. Sungguh lama pemuda itu meninggalkan ibu bapanya. Namun hubungan pemuda itu dengan temanitanya akhirnya terputus. Pemuda itu pulang ke kampung untuk memohon maaf kepada ibu bapanya. Malangnya, ibu bapanya sudah kembali ke rahmatullah. Filem itu benar-benar menyentuh jiwa Nazim. Perutusan filem itu merentap sentap tangkai hatinya. Dia sedar bahawa keluarga harus diutamakan walau dalam apapun keadaan.

                Kini masalah yang dihadapinya selama ini sudah dapat dihuraikan. Segala kekusutan terlerai sudah. Dia telah memutuskan untuk melupakan hasratnya ke Hollywood. Da harus menunaikan amanah dan pesanan arwah ayahnya supaya menjaga ibunya. Memang berat mengambil keputusan ini. Dia yakin bahawa rezeki boleh dicari di mana-mana. Namun, ibu tercinta hanya seorang. Tiada pengganti. Tidak boleh diganti. Justeru, dia ingin selalu bersama di sisi ibu selagi hayatnya dikandung badan. Dilema yang dihadapinya akhirnya berjaya dihuraikan.



Karya: Mariani (5B)

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.