Thursday, 14 May 2015

Naratif 2 (RSS)

Bantuan yang dihulur kepada seorang yang tidak tahu membalas budi tetapi kadang kala dibalas dengan kejahatan.  Tulis sebuah cerita berdasarkan pernyataan ini.


Angin meniup sepoi-sepoi bahasa dan udaranya segar. Matin menoleh ke luar tingkap sambil mendengar kata-kata guru di depan kelas.  Waktu itu waktu pengajaran subjek Sejarah, Matin hanya mendengar cerita gurunya tentang perang dunia pertama. Tiba-tiba dia tersentak dengan panggilan gurunya.

“Matin, awak dengar apa yang saya cakapkan tadi?” tanya gurunya, Encik Firaz.

“Ya, Encik Firaz.” jawab Matin dengan sebuah senyuman.

Encik Firaz pun menyambung ceritanya. Setelah dia mengakhiri ceritanya, dia pun memberi tugasan kepada murid-muridnya.  Sebuah projek mengenai perang dunia pertama. Selepas memberi arahan dan nasihat untuk membuat tugasan itu, Encik Firaz pun mengangkat kaki lalu keluar kelas kerana waktu sekolah telah berakhir.

Matin pun bangkit dari tempat duduknya.  Dia merancang apa yang patut dia lakukan supaya dia boleh menyelesaikan tugasan itu dengan secepat mungkin. Sepanjang perjalanannya pulang ke rumah, dia memegang telefon bimbitnya yang dikeluarkan selepas dia keluar dari kawasan sekolah. Apa-apa idea yang dia dapat fikirkan, dia taip ke dalam telefon bimbitnya supaya dapat difikirkan nanti. Sampai sahaja di rumah, dia memberi salam dan menukar pakaiannya. Selepas itu, dia terus duduk di hadapan meja belajarnya dan membuka komputer ribanya untuk membuat projek tersebut. Segala idea yang difikirkan tadi dimasukkan ke dalam tugasan tersebut. Dalam tempoh 4 jam, dia telah pun menyelesaikan projek itu. Dia berasa besar hati.  Projek yang telah diselesaikan pun disimpan di suatu folder di komputer ribanya khas untuk projek-projek sekolah. Oleh sebab tugasan tersebut telah selesai dan tidak mempunyai apa-apa kerja lain, dia mula menyambung menulis sebuah cerita kerana itulah hobinya untuk mengisi masa lapang. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering. Segara dia pun menjawab.

“Matin bolehkah awak bantu saya? Komputer saya telah rosak dan saya tidak boleh membuat tugasan saya!” kata Idham dengan nada yang sesak.

Matin pun memahami apa yang dimahukan Idham lalu memberitahunya bahawa dia akan membawa komputer ribanya ke sekolah untuk dipinjamkan. Idham berterima kasih kepada Matin buat beribuan kali. Selepas itu, panggilan telefon pun berhenti dan Matin sedar bahawa sudah waktu untuk tidur. Dia meletakkan komputer ribanya di sebuah tempat yang dapat dilihat supaya tidak terlupa untuk membawanya pada keesokan harinya. Lalu, dia pun berhijrah ke alam mimpi.

Keesokan harinya, Matin menghulurkan komputer ribanya kepada Idham. Idham terus merampas beg itu dan mengucapkan terima kasih. Selepas beberapa jam, sekolah pun tamat dan pelajar-pelajar semua beredar untuk pulang. Matin dan Idham pun berbuat demikian. Apabila Idham sampai di rumah, dia terus membuka komputer riba Matin untuk membuat projeknya. Tiba-tiba, dia rasa ingin melihat projek Matin dan apabila melihat bahawa Matin sebenarnya sudah selesai, dia mengalih fail projek Matin dan menyimpannya ke dalam pemacu jarinya.

Pada hari sekolah seterusnya, komputer riba Matin dipulangkan tanpa Matin mengesyaki apa-apa. Pada hari projek itu harus ditunjukkan di hadapan kelas, Matin pun membawa komputer ribanya ke sekolah lagi. Pelajar-pelajar kelas sejarah mengambil giliran untuk membuat persembahan mereka dan akhirnya, hanya tinggal Idham dan Matin yang belum menunjukkan persembahan mereka. Idham terus bangkit dari tempat duduknya untuk membentangkan projeknya. Sepanjang persembahan Idham, senyuman lebar terpapar di wajahnya.  Encik Firaz juga amat berpuas hati dengan pembentangan Idham. Pelajar-pelajar lain berasa itulah  persembahan yang terbaik.  Namun, mata Matin terbeliak dan mulutnya ternganga.

“Itu nampaknya projek saya… Hmm, mungkin ia hanya suatu kebetulan sahaja,” fikir Matin.

Akhirnya, giliran Matin pula untuk membuat perbentangan. Dia membuka komputer ribanya dan mencari fail projeknya. Alangkah terkejutnya si Matin apabila dia sedar failnya telah hilang. Dia pun memberitahu hal itu kepada gurunya tetapi dianggap sebagai alasan sahaja.

“Awak memang tidak bertanggungjawab. Saya telah memberikan awak empat hari untuk menyiapkan projek ini! Mengapa awak tidak membuat ‘backup’ selepas selesai melakukannya.   Awak akan didenda, Matin,” Encik Firaz melenting.

Matin hanya dapat menundukkan kepalanya sahaja.  Di belakang kelas, Idham tersenyum lebar. Habis sahaja waktu sekolah, Matin berdepan dengan si Idham bertanyakan sebab Idham mengambil projeknya.   

“Awak memang tidak berhati perut. Saya yang bertungkus-lumus membuat projek itu dan awak senang-senang mengambilnya; lembu punya susu, sapi dapat nama.” Matin memarahi Idham.

Namun, Idham tidak berasa serba salah pun lalu menolak Matin ke tepi dan menuju ke arah rumahnya. Matin pula ke pejabat sekolah untuk berjumpa dengan Encik Firaz untuk menerima hukuman. Dalam hati Matin, hanya ada rasa kesedihan atas perbuatan Idham yang mengkhianatinya. Bantuan yang diberikan kepada Idham seperti hujan jatuh ke pasir.


Hasil karya
Nur Sabrina Binte Usmanhasidik
Menengah 4/7
4HML


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.