Sebenarnya, saya mendapat tahu yang awal tahun ini persatuan pelajar sekolah awak telah mendapat kelulusan untuk melancarkan program Memelihara Alam sekitar untuk pelajar-pelajar Menengah 3 dan 4. Malah, ramai yang berpuas hati dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan.
Sebagai ketua pelajar yang bertanggungjawab dalam merancang dan menganjurkan program-program menarik untuk para pelajar, saya perlu memikirkan rancangan dan aktiviti yang menarik untuk tahun hadapan. Saya sangat berharap agar awak dapat berkongsi dengan saya tujuan program itu dipilih oleh persatuan pelajar sekolah awak. Malah, apakah antara kegiatan yang dijalankan sehingga ramai yang berpuas hati dengannya? Apa pula pendapat awak jika saya ingin mengusulkan program yang sama juga kepada pelajar-pelajar menengah rendah?
Jawapan:
Daripada
|
intan_juwita@salam.com
|
Kepada
|
siti_sharmilah@sahoot,com
|
Tarikh
|
21 Oktober 2014
|
Subjek
|
Program Memelihara Alam Sekitar
|
Sharmilah
Awak apa khabar? Saya harap awak sihat-sihat belaka di samping keluarga yang tercinta. Saya sekeluarga sihat. Maaf saya tidak selalu berhubung melalui e-mel. Saya baru selesai peperiksaan akhir tahun. Maklumlah, tahun ini merupakan tahun yang penting bagi saya kerana saya akan menduduki peperiksaan peringkat ‘O’ pada tahun hadapan, Tidak sabar rasanya untuk berkongsi tentang program Memelihara Alam Sekitar dengan awak.
Terutama sekali, tujuan program ini diadakan adalah untuk mendidik para pelajar tentang keadaan alam sekitar kini dan bagaimana mereka boleh memelihara alam sekitar walaupun pelbagai iklan dan poster ditampal di merata tempat di Singapura, ramai pelajar yang masih tidak sedar tentang bahaya pencemaran dan pemanasan global. Ada yang kekurangan ilmu tentang perkara genting ini namun ada juga yang tidak pasti apa yang boleh dilakukan mereka untuk mempertahankan pemanasan global. Justeru, program ini dilancarkan untuk mendidik para pelajar tentang kepentingan memelihara alam sekitar.
Kegiatan pertama yang telah kami jalankan ialah aktiviti pengumpulan suratkhabar. Para pelajar ditugaskan untuk mengumpul suratkhabar pada waktu pagi hari Sabtu secara satu kelas. Setiap kelas pula ditugaskan untuk mengumpul suratkhabar dari dua blok yang berdekatan dengan sekolah. Walaupun para pelajar harus bangun awal pada pagi hari Sabtu, mereka bersemangat dan berazam untuk mengumpul sebanyak mungkin suratkhabar. Mereka juga sedar bahawa mereka melakukan aktiviti ini untuk memelihara alam sekitar. Dengan mengumpul suratkhabar, mereka dapat mengitar semula suratkhabar itu. Apabila suratkhabar dikitar, bilangan pokok yang akan ditebang untuk dijadikan kertas dan bahan lain berkurangan. Ini dapat mempertahankan pemanasan global. Di samping memelihara alam sekitar, para pelajar juga dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan mereka sambal melakukan perkara yang bermanfaat. Dengan membuat perkara yang bermanfaat, mereka tidak membuang masa bak pepatah “pagi tidak dibuang, senja tidak dikejar” dan para pelajar juga berseronok dan berpuas hati dengan program ini.
Kegiatan kedua yang dijalankan merupakan program lawatan ke Pulau Semakau sambal belajar. Pelajar-pelajar menengah 3 dan 4 berkesempatan untuk ke Pulau Semakau dan melihat bilangan sampah yang dibuang secara langsung. Mereka akan sedar bahawa sampah yang dibuang mereka setiap hari mengambil ruang yang banyak di pulau itu. Lama-kelamaan, ruang itu akan kehabisan. Mengikut statistik pada tahun 2010, 1280 kilogram sampah dibuang oleh seorang individu dalam masa setahun. Fakta yang memeranjatkan ini dapat membuat para pelajar berasa insaf. Mereka juga bertekad untuk tidak membazir makanan sebarangan dan hanya membeli apa yang diperlukan sahaja. Para pelajar juga dapat melihat hidupan liar yang tinggal di Pulau Semakau ini. Mereka mempelajari bahawa jika mereka ingin anak-anak mereka melihat hidupan liar ini pada masa hadapan, mereka tidak patut mencemar bumi ini dan harus memelihara alam sekitar. Ramai pelajar yang berpuas hati dengan bahagian program ini kerana mereka dapat mempelajari banyak perkara di luar sekolah secara autentik.
Pada pendapat saya, awak patut mengusulkan program yang sama kepada pelajar-pelajar menengah rendah. Walaupun pelajar-pelajar menengah rendah lebih muda daripada pelajar-pelajar menengah 3 dan 4, mereka akan dapat menjalankan aktivtiti pengumpulan suratkhabar juga dan belajar untuk berdikari. Mempelajari tentang memelihara alam sekitar juga tidak ada batasan dari segi usia. Pelajar-pelajar menengah rendah juga dapat mempelajari tentang perkara yang sama. Ada juga kebaikan jika mereka mempelajari tentang perkara ini pada usia muda. Mereka dapat memupuk sifat menyayangi bumi dari kecil lagi. Apabila mereka ke menengah 3 atau 4 pada masa hadapan, mereka dapat memperdalamkan ilmu mereka.
Kesimpulannya, banyak manfaat yang boleh diraih daripada program memelihara alam sekitar ini. Para pelajar harus sedar tentang kepentingan memelihara alam sekitar dan mengambil tindakan untuk membaiki keadaan bumi kini. Saya harap awak dapat menggunakan maklumat yang telah saya kongsi bersama awak. Saya menanti balasan e-mel awak tentang program memelihara alam sekitar sekolah awak.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Intan Juwita
Hasil Karya
Nurul Nabilah bte Adnan
Menengah 4/8
4HML
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.