Faktor-faktor yang Membuat Saya Bangga Menjadi Warga Singapura.
Oleh: Mashita binte Mohamad 4M1
Md Farhan bin Ismail 5S1
Nazreena binte Md Razali 5S1
Singapura merupakan sebuah negara yang maju dan semakin berkembang walaupun ia cuma setitik tanda merah pada peta dunia. Namun, terdapat pelbagai faktor yang membuat saya rasa amat bangga menjadi warga Singapura. Antaranya adalah kerana republik ini merupakan sebuah negara yang selamat untuk didiami, ekonominya mantap, wujudnya keharmonian kaum, kebersihan alam sekitar yang terjamin dan sistem pengangkutan awam yang selesa dan efektif.
Sebagai warga Singapura, saya berbangga dengan tahap keselamatan negara ini. Pemimpin negara memastikan undang-undang berkuat kuasa dan dilaksanakan dengan adil dan berkesan. Pasukan polis juga mengiatkan rondaan di kawasan kejiranan dan di jalan raya demi memastikan tiada pengaduhan ataupun perkara yang buruk berlaku. Dengan tindakan yang pantas dan proaktif, ia telah menjadikan Singapura sebuah negara yang mempunyai kadar jenayah yang rendah. Justeru, apabila keselamatan di Singapura terjamin, maka Singapura menjadi lebih aman. Hal ini membuat warga Singapura berasa tenang tinggal di Singapura. Oleh yang demikian, saya berasa amat bangga menjadi warga Singapura.
Ekonomi Singapura yang mantap membuatkan saya amat bertuah dan bangga menjadi warga negara Singapura. Singapura juga boleh berbangga dengan pembangunan ekonomi yang sungguh pesat. Terdapat ramai pelabur dari luar negara yang melaburkan wang di Singapura. Dengan adanya pelaburan maka rakyat Singapura akan ada pekerjaan. Dengan itu, warga Singa tidak dihimpit dengan masalah pengangguran sepertimana terjadi di negara-negara jiran seperti Indonesia, Malaysia dan Filipina. Oleh sebab warga Singapura rata-rata mempunyai pekerjaan tetap, mutu kehidupan meningkat. Justeru, ekonomi yang mantap dapat memanfaatkan warga Singapura. Saya sebagai warga Singapura berasa bangga dan bersyukur dengan kestabilan ekonomi Singapura.
Selain itu, saya bangga kerana adanya keharmonian kaum di Singapura. Singapura merupakan sebuah negara yang majmuk. Persefahaman yang kukuh antara warga Singapura dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara rakyatnya yang berbilang bangsa, agama dan kepercayaan. Komunikasi bersama jiran tetangga dapat mengukuhkan persefahaman dan ia juga dapat mengeratkan lagi hubungan sesame jiran. Selain itu, masyarakat Singapura berpeluang mempelajari tentang budaya bangsa lain. Rakyat Singapura sentiasa gembira dan meraikan perayaan-perayaan yang berbeza di negara ini. Oleh itu, saya berasa bangga menjadi anggota masyarakat yang boleh bersatu-hati meskipun kita berlainan agama dan kepercayaan.
Seterusnya, saya berbangga dengan tahap kebersihan di Singapura. Jalan raya di Singapura jarang dipenuhi sampah sarap. Hal ini kerana kerja pembersihan dilakukan secara sistematik. Selain itu, jika seseorang didapati bersalah kerana membuang sampah sembarangan, beliau boleh didenda sehingga $500. Pekerja pembersihan di Singapura juga melakukan kerja mereka dengan cekap dan pantas. Warga Singapura juga memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan negara ini. Selain itu, landskap Singapura dipenuhi dengan kehijauan. Pokok-pokok dapat dilihat di mana-mana sahaja. Dengan kebersihan dan kehijauan di dalam negara, ia memberikan gambaran yang positif untuk Singapura. Oleh itu, saya berasa amat bangga dan gembira menjadi warga Singapura.
Sistem pengangkutan awam yang amat selesa dan efisyen di Singapura juga boleh dibanggakan. Pengangkutan awam seperti bas, teksi dan MRT berupaya membuat penumpang berasa selesa dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Dengan sistem pengangkutan yang efisyen, ia memudahkan warga Singapura untuk bergerak di dalam negara. Sekiranya tercetus keadaan darurat di jalan raya, pihak SMRT akan memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang tidak dikompromi. Contohnya, jika kereta api rosak, pihak SMRT akan mengambil tindakan yang proaktif dan memastikan penumpang selamat sampai ke destinasi masing-masing. Para pelancong ke negara ini juga akan berasa mudah untuk meneroka tempat-tempat di negara ini. Peta perjalanan pengangkutan awam amat teratur dan pelancong tidak akan sesat jika mereka berpandukan peta. Oleh itu, saya rasa amat bangga menjadi warga Singapura kerana sistem pengangkutan di Singapura selamat dan efisyen.
Kesimpulannya, saya berasa bangga menjadi warga Singapura. Singapura ialah sebuah negara yang aman, mewah dan makmur. Singapura yang bersih dan menghijau menjadikan saya serta warga Singapura yang lain tenang, selamat serta bersyukur menjadi warga Singapura.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.