Sepagi melakukan program pelibatan masyarakat
Pada tanggal 14 Mac 2015 yang lalu, sekolah saya mengadakan Hari R3 yang bermaksud Hari Menggunakan, Mengurangkan dan Mengitar Semula. Hari R3 merupakan acara tahunan sekolah saya yang melibatkan semua pelajar dan kakitangan sekolah. Pelajar dari setiap kelas akan ke estet perumahan untuk mengumpulkan surat khabar, majalah dan pakaian lama untuk dijual. Duit yang dikumpulkan itu disalurkan ke Dana Bantuan Kewangan Bagi Pelajar-pelajar Kurang Berkemampuan.
Pada pukul 8:30 pagi, semua pelajar berkumpul di lapangan perhimpunan sekolah dengan perasaan teruja untuk membantu masyarakat. Sebelum kami ke lokasi masing-masing, ketua jabatan yang bertanggungjawab ke atas program tersebut, Puan Lee, memberikan ucapan tentang keselamatan. Selepas itu, kelas saya beredar dari sekolah untuk ke lokasi yang sudah ditetapkan. Estet perumahan yang telah diberikan kepada kelas saya bertentangan dengan taman Mandai Tekong. Walaupun lokasi itu agak jauh dari sekolah, saya dan kawan-kawan saya tidak mengeluh kerana kami begitu bersemangat untuk melakukan program pelibatan masyarakat ini.
Sampai sahaja di blok 520, Woodlands drive 14. Kami sudah berpeluh-peluh dan dahaga kerana cuaca agak panas. Guru saya terus mengarah setiap kumpulan untuk ke blok masing-masing mengikut apa yang telah dirancangkan.
Saya dan rakan-rakan dalam kumpulan saya berasa takut ketika kami mengetuk pintu rumah pertama. Maklumlah, hari itu hari Sabtu, ramai yang mungkin masih belum bangun dari tidur. Kami sudah bersedia sekiranya kami dimarahi. Namun sangkaan kami meleset kerana para penduduk membuka pintu dengan senyuman dan memberikan kami suratkhabar, majalah dan pakaian terpakai di dalam plastik besar supaya mudah untuk kami mengangkutnya ke tempat pengumpulan.
Pada mulanya, barang yang dikumpul sedikit sahaja tetapi lama kelamaan ia membukit. Selesai sahaja mengumpul barang terpakai, kelas saya bergotong royong untuk mengikat majalah, surat khabar dan menyusunnya. Melihat surat khabar dan plastik yang bertimbun-timbun saya berasa bangga dengan kegigihan kami.
Tepat jam 11 pagi, sebuah lori dari syarikat Sembcorp pun tiba untuk mengambil barang-barang yang telah dikumpulkan untuk dihantar ke pusat pengitaran. Kami membantu pemandu lori memunggah barang-barang yang telah dikumpulkan ke dalam perut lori. Tugas yang berat itu dapat dilakukan dengan mudah dan cepat kerana kami bergotong-royong melakukannya.
Selepas itu, kami diarah oleh guru untuk duduk dan melengkapkan borang renungan. Saya mengisi borang itu dengan kesungguhan kerana pengalaman yang saya timba pada pagi Sabtu itu amat berharga buat saya. Pengalaman berhadapan dengan penduduk blok dan meminta bantuan daripada mereka merupakan satu pengalaman berharga. Ia telah berjaya meningkatkan keyakinan dalam diri saya. Tambahan pula, kegiatan itu telah berjaya mengeratkan lagi hubungan persahabatan saya dengan rakan-rakan sekelas.
Dua minggu kemudian, kami diberitahu bahawa sekolah saya dapat mengumpul dana sebanyak $2400 untuk pelajar-pelajar kurang berkemampuan. Ternyata kegigihan yang telah kami berikan sangat berbaloi.
Hasil karya,
Nur A'tikah Bte Nordin
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.