Thursday, 14 May 2015

Ekspositori 1 (RSS)

Pendidikan seks perlu diajar di peringkat sekolah menengah.  Bincangkan.


Pendidikan seks merupakan suatu aspek yang kurang dititikberatkan dalam kalangan anak muda kita. Dengan itu, tidak hairanlah mengapa bilangan anak muda yang terjebak dalam gejala-gejala seks sebelum nikah semakin meningkat hari demi hari. Walau bagaimanapun, peningkatan secara mendadak telah sampai ke tahap yang amat membimbangkan  sehinggalah pemerintah terpaksa melakukan sesuatu dengan tujuan untuk membasmi kegiatan yang dianggap keji itu. Justeru itu, pendidikan seks perlu diajar di peringkat sekolah menengah lagi dengan harapan agar matlamat pemerintah dapat dicapai. Namun, sejauh manakah nilai pendidikan seks di mata anak remaja kita? Adakah ia merupakan suatu perkara yang harus dirisaukan? Akan saya kupaskan dalam perenggan-perenggan yang selanjutnya.

Antara sebab mengapa pendidikan seks perlu diajar di peringkat sekolah menengah adalah kerana pengaruh internet yang terlalu kuat, yakni membimbangkan. Angkara zaman yang semakin moden dan canggih ini, informasi dan gambar-gambar berkaitan dengan gejala seks mudah tersebar dalam sekelip mata. Tidak dapat saya nafikan bahawa penggunaan teknologi-teknologi yang semakin canggih amat penting dan berguna  secara mata kasar. Namun, kadangkala, berapa hebat sekalipun manfaat ditawarkan, sudah pasti terdapat aspek yang negatif pada teknologi-teknologi tersebut. Tamsilnya, pengaruh rakan-rakan yang kuat akan mendorong seseorang remaja itu untuk melihat gambar-gambar yang tidak sepatutunya dilihat. Sekalipun remaja tersebut cuba untuk tidak mengendahkannya, sudah pasti nafsu akan mengawal dirinya; mengambil alih tugas sebuah otak yang waras. Dengan pendedahan kepada gambar-gambar ataupun video-video yang lucah, seseorang remaja itu akan mempunyai firasat ingin tahu mengenai seks sehinggakan ia akan membuatnya terjebak dalam kegiatan tersebut. Justeru, pendidikan seks secara formal amat penting agar para remaja yang sedang belajar untuk menjadi individu yang matang dapat menimba ilmu tentang akibat-akibatnya apabila terjebak dalam situasi yang tidak diingini.

Selain daripada itu, saya percaya bahawa sekolah menengah merupakan titik permulaan sebelum seseorang remaja itu memasuki alam dewasa yang lebih berat cabarannya. Disebabkan itulah adalah penting bagi seseorang remaja itu untuk dididik tentang pendidikan seks yang amat luas kandungannya secara berpertingkat-pertingkat. Sikap orang pasti mempunyai perspektif yang berbeza mengenai seks. Dengan itu, pendidikan seks di sekolah menengah mungkin merupakan suatu wadah untuk para pelajar dan guru mengadakan sesi maklum balas. Kadangkala ada di antara tafsiran para pelajar mengenai isu seks ini kurang tepat dan harus diperbetulkan. Justeru, dengan adanya sesi maklum balas tersebut, para pelajar dapat menilai dan membuat keputusan yang tepat apabila berhadapan dengan sesebuah situasi yang mungkin akan melibatkannya dalam gejala seks. Tafsiran yang mungkin kurang tepat juga dijadikan sebagai suatu peringatan bagi para remaja untuk lebih berhati-hati tatkala didedahkan dengan isu seks di dalam alam maya. Walaupun pendidikan seks sudah diadakan di peringkat sekolah rendah, namun ia perlu diperbahaskan dengan lebih dalam lagi di peringkat sekolah menengah disebabkan para pelajar lebih matang dan terbuka apabila diajar mengenai isu sensitif ini.

Pada masa yang sama, pendidikan seks perlu diajar di peringkat sekolah menengah oleh sebab ia jarang didedahkan kepada anak-anak remaja kita pada masa kini. Ibu bapa sering mempunyai tanggapan bahawa pendidikan seks tidak penting ataupun kurang sesuai untuk dihuraikan kepada anak-anak mereka selagi belum mencecah umur dua puluhan. Tanggapan sebegini harus dihapuskan sama sekali kerana anak-anak muda kita sebenarnya lebih berpengetahuan tentang isu seks ini daripada kita. Selalunya, para remaja mendapat informasi-informasi tentang seks di alam maya di mana konteks mengenainya terlalu luas dan ada antaranya yang tidak dihuraikan dengan tepat sehingga menyebabkan anak muda kita akan tersalah tafsir. Dengan itu, dengan adanya pendidikan seks di sekolah menengah, anak muda kita akan mempunyai tempat bergantung apabila mereka musykil tentang isu tesebut. Mereka juga akan mengambil langkah berhati-hati apabila mencari maklumat tentang seks di alam maya kerana tidak semua informasi yang dipaparkan adalah tepat. Justeru, pendidikan seks di peringkat sekolah menengah memang merupakan pelantar untuk menimba ilmu daripada penyampai-penyampai yang mahir dalam isu sebegitu.

Akhir kalam, saya amat menyokong adanya pendidikan seks di peringkat sekolah menengah. Kebanyakan anak muda kita mudah menerima segala informasi mengenainya di alam maya tanpa penyelidikan yang mendalam. Ada juga yang tidak mempunyai tempat bergantung untuk meleraikan segala kemusykilan mengenai topik seks yang terbuka itu disebabkan kurang pendedahan terhadap isu tersebut oleh ibu bapa. Saya percaya bahawa tidak ada umur yang terlalu muda untuk mempelajari dan menimba ilmu tentang isu seks kerana ia merupakan sebuah topik yang amat terbuka. Adalah penting bagi ibu bapa dan pihak sekolah untuk bekerjasama dan mendidik anak-anak mereka mengenai isu seks sejak kecil lagi. Bak pepatah Melayu, “melentur buluh biar dari rebungnya” merupakan kata-kata pegangan yang menjadi sandaran ibu bapa. Jangan sudah terhantuk baru terngadah. Mungkin sudah terlambat untuk menlentur anak-anak kita pada masa itu. Walau bagaimanapun, usaha pihak sekolah dalam mengendalikan pendidikan seks perlu diteruskan agar matlamat untuk membasmi kegiatan  seks sebelum nikah dapat dikekang secara keseluruhannya.


Nurul Nabilah Bte Adnan
Menengah 4/8
4HML

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.