Thursday, 14 May 2015

Emel Tidak Rasmi 1 (RSS)

Soalan E-mel tidak rasmi

Adam
Apa khabar? Semoga awak berada dalam keadaan sihat sejahtera. Sudah agak lama kita tidak berkirim e-mel, ya.
Cuti sekolah pertengahan tahun akan bermula tidak lama lagi. Saya pasti akan berasa bosan jika menghabiskan masa di rumah dan menghadiri kelas tambahan sahaja. Jadi , saya bercadang untuk menyertai beberapa kegiatan seperti perkhemahan sukan, bengkel motivasi dan kelas seni lukis anjuran Persatuan Belia Jaya. Persatuan ini berpusat di Kelab Masyarakat Regent.
Saya mendapat tahu bahawa awak melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan-kegiatan Persatuan Belia Jaya. Saya juga mahu berbuat demikian. Namun, saya tidak pasti tentang manfaat yang boleh saya raih melalui kegiatan-kegiatan tersebut. Bolehkah awak memberitahu saya tentang pelbagai kegiatan yang dianjurkan oleh persatuan tersebut dan manfaat-manfaat yang dapat diraih oleh pelajar seperti saya?
Cepat-cepat berikan jawapan, ya.


Yang ikhlas
Safiah


Jawapan:
Daripada:
Kepada:
safiah@kgoomail.com
Subjek:
Mengongsi Maklumat tentang Persatuan Belia Jaya


Safiah
            Ketika menulis emel ini, saya berada dalam keadaan baik dan saya berharap awak pun begitu juga.   Memang benar bahawa saya pernah melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan-kegiatan Persatuan Belia Jaya. Saya telah meraih pelbagai manfaat melalui kegiatan-kegiatan tersebut dan saya akan berkongsi beberapa manfaat dengan awak. Saya pernah menyertai ketiga-tiga kegiatan yang awak cadangkan dan saya rasa perkara-perkara yang saya akan kongsi dapat membantu awak.
            Perkhemahan sukan adalah sebuah kegiatan yang lasak tetapi agak menyeronokkan. Dalam perkhemahan sukan ini, awak akan dimasukkan dalam sebuah kumpulan dan kemudian bersaing dengan kumpulan-kumpulan lain dengan bermain pelbagai sukan seperti bola keranjang, badminton, larian balapan dan sebagainya. Kumpulan yang dapat mengumpul mata yang tertinggi akan memenangi hadiah daripada Persatuan Belia Jaya. Bukan sahaja awak dapat bermain pelbagai jenis sukan, awak juga akan belajar untuk mendirikan  khemah sendiri dan bermalam bersama belia-belia lain yang menyertai kegiatan ini. Antara manfaat daripada kegiatan ini ialah awak akan mendapat kawan baharu yang sebaya dengan awak. Awak akan akhirnya menjadi rapat dengan mereka kerana awak akan menghabiskan banyak masa bersama mereka semasa perkhemahan tersebut. Ini akan memupuk semangat kesatuan dan awak dapat mempelajari untuk bekerjasama dengan orang lain dengan lebih baik. Awak juga dapat menjalani gaya hidup yang sihat melalui perkhemahan sukan ini. Dengan menyertai perkhemahan  sukan ini, masa awak akan diisi dengan sepenuhnya dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan dan  bermanfaat.
Bengkel motivasi akan menyediakan awak untuk penggal sekolah yang kedua. Memandangkan awak akan menduduki peperiksaan nasional pada akhir tahun, bengkel ini  sesuai untuk awak. Bengkel ini bukan sahaja memberi awak semangat dan motivasi untuk  belajar bersungguh-sungguh malah, ia juga mengajar awak strategi-strategi untuk membuat persiapan yang baik untuk peperiksaan nasional awak. Awak akan mempunyai kemahiran-kemahiran yang tertentu untuk persiapan peperiksaan yang bakal menjelang. Salah satu kemahiran ini adalah bagaimana untuk membahagikan masa dengan bijak.
Awak pasti tahu saya tidak mahir melukis? Namun saya tetap menyertai kelas seni lukis kerana saya ingin mencuba untuk memperbaiki lukisan saya. Pada mulanya, saya fikir bahawa saya akan membuang masa menyertai kelas ini tetapi akhirnya saya rasa masa yang saya habiskan dalam kelas seni amat berbaloi dan menyeronokkan. Guru kelas tersebut baik dan peramah orangnya. Walaupun saya terkial-kial, guru tersebut dengan sabar mengajar saya teknik-teknik yang betul untuk melukis. Akhirnya, saya berjaya melukis sebuah lukisan yang agak cantik pada saya. Kelas ini mengajar awak untuk bersabar dalam apa jua bidang yang saya ceburi. Mungkin awak tidak mahir dalam sesuatu bidang namun dengan latihan, awak akhirnya akan mahir jua bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.
Saya akan akhiri e-mel saya di sini sahaja. Saya berharap saya dapat meyakinkan awak  tentang kegiatan-kegiatan Persatuan Belia Jaya dan manfaat-manfaatnya.  Semoga awak dapat merasakan keseronokannya seperti mana yang saya gambarkan.
Sekian, terima kasih.
Yang benar
Adam

Hasil Karya
Azhar Bin Musa
Menengah 5/3

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.