Singapura kini mempunyai semakin banyak tarikan pelancong yang hebat dan gah. Sebagai seorang pemandu pelancong yang berpengalaman, berikan pendapat kamu tentang hal ini. Mengapakah usaha seperti itu diambil oleh pihak pemerintah dan apakah kesannya kepada Singapura secara keseluruhan? Berikan respons kamu kepada tourism.sg@eco.co.sg
Daripada:
| |
Kepada:
|
tourism.sg@eco.co.sg
|
Subjek:
|
Pendapat mengenai jumlah tarikan pelancong yang semakin hebat dan gah
|
Tuan,
Merujuk kepada perkara di atas, saya Nurul Nabilah Bte Adnan, seorang pemandu pelancong, amat berbesar hati untuk mengutarakan pandangan saya mengenai kenaikan jumlah tarikan pelancong yang semakin gah. Sebagai seorang yang telah berkhidmat lama dalam sektor pelancongan, saya telah perasan kenaikan dalam jumlah pelancong ke Singapura sejak beberapa tahun yang lalu. Berdasarkan statistik kedatangan pelancong pada tahun lalu sahaja, jumlah pelancong yang datang dari Amerika Syarikat lebih tinggi jika dibandingkan dengan para pelancong dari Asia Tenggara. Dek zaman yang semakin moden dan juga pengaruh globalisasi, pemerintah semakin giat untuk membangunkan lebih banyak tarikan-tarikan pelancong di Singapura.
Isu tekanan merupakan salah satu faktor mengapa aktiviti pelancongan merupakan aktiviti termashyur dalam kalangan masyarakat kita. Tidak kiralah dari pelusuk dunia mana sekalipun, jumlah para pelancong yang melancong ke luar negara dengan tujuan santai kian meningkat. Sebagai salah sebuah negara yang terpencil di peta dunia dan juga sebuah pulau yang tidak mempunyai sumber alam, pemerintah terkpaksa mencari wadah lain untuk memastikan kestabilan ekonomi. Justeru, salah satu wadah adalah dengan bergantung pada sumber dari aspek pelancongan. Isu menaiktarafkan sesebuah daya tarikan pelancong bukanlah sesuatu berita yang asing bagi warga negara Singapura. Setiap hari, ada sahaja idea-idea baharu yang ditimbulkan oleh pihak pemerintah untuk memperbaiki lagi cara-cara menarik para pelancong ke Singapura. Melalui daya tarikan yang ada, perspektif yang orang ramai ada terhadap Singapura sebagai sebuah negara yang tidak membangun dapat diubah sama sekali. Dengan adanya daya tarikan pelancong seperti Chinatown dan Little India, para pelancong dapat mempelajari dengan lebih lanjut tentang budaya dan kehidupan yang sebenar di Singapura. Pada masa yang sama, pembinaan Marina Bay Sands boleh dijadikan sebagai daya tarikan bagi para pelabur. Justeru, Singapura akan menjadi sebuah tempat pelaburan yang terkenal di mata dunia.
Dengan adanya pembinaan daya tarikan yang semakin gah, tentu sekali masyarakat Singapura sedikit-sebanyak akan terjejas. Tidak dapat saya sangkalkan bahawa disebabkan usaha pihak pemerintah untuk menarik perhatian para pelancong, taraf kehidupan di Singapura juga menjadi semakin tinggi. Ekonomi yang telah maju dengan pesat akan mengakibatkan kenaikan dalam mata wang di negara ini. Sejak kebelakangan ini, isu ‘pencurian’ pekerjaan oleh warga asing telah pun menggegar kaca televisyen kita. Ramai antara masyarakat kita sudah semestinya bermasam muka dengan pengambilan peluang pekerjaan sedemikian. Saya tidak dapat menafikan bahawa usaha pihak pemerintah untuk menarik perhatian para pelancong amat berkesan. Walau bagaimanapun, angkara faktor tersebut, lebih banyak warga asing yang tertarik untuk bermastautin di Singapura. Ini juga bermakna bahawa mereka memerlukan sebuah pekerjaan dan telah mengakibatkan perampasan peluang pekerjaan bagi warga negara Singapura. Namun, warga Singapura juga harus melihat ini dari sudut yang positif. Tamsilnya, dengan wujudnya daya tarikan yang kian meningkat di Singapura, masyarakat kita mempunyai lebih banyak pilihan untuk meluangkan masa dengan keluarga mereka. Dengan demikian, hubungan kekeluargaan di Singapura akan menjadi erat.
Sebagai seorang pemandu pelancong, tentu sekali saya berasa sukacita tatkala melihat penambahan dalam daya tarikan pelancong yang semakin gah. Dengan adanya usaha sedemikian daripada pihak pemerintah, jumlah para pelancong akan bertambah dan ini akan mengukuhkan lagi kestabilan pekerjaan saya. Saya amat berbesar hati untuk berkhidmat sebagai seorang pemandu pelancong dan mengenalkan para pelancong kepada budaya dan cara kehidupan kita. Tarikan-tarikan pelancong di Singapura ternyata telah memanfaatkan para pelancong dari segi penambahan dalam ilmu pengetahuan dan juga masyarakat kita sendiri.
Natijahnya, saya amat menyokong usaha pihak pemerintah dalam menaiktarafkan daya tarikan pelancong. Dengan adanya kepelbagaian dalam tempat tarikan pelancong, kedua-dua pelancong dan warga negara Singapura sendiri akan meraih manfaat yang cukup lumayan dan bermakna. Ekonomi Singapura juga akan bertambah lebih stabil dan kebahagiaan juga dapat dikecapi. Pelbagai usaha pihak pemerintah boleh diperkenalkan pada masa hadapan.
Yang benar
Nurul Nabilah Bte Adnan
Hasil Karya
Nurul Nabilah bte Adnan
Menengah 4/8
4HML
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.