Bincangkan cara-cara untuk menjadi pengguna internet yang bijak.
Internet merupakan rangkaian komputer antarabangsa yang membolehkan pengguna komputer di seluruh dunia berhubung di antara satu sama lain dan mencapai maklumat pangkalan data dari seluruh dunia. Malahan, internet digunakan setiap hari oleh pelbagai golongan manusia dari peringkat remaja hingga dewasa. Namun demikian, apakah cara-caranya untuk menjadi seorang pengguna internet yang bijak?
Cara yang pertama, seorang itu haruslah bijak menguruskan masa apabila menggunakan internet. Seseorang itu boleh menjadi ketagihan terhadap penggunaan internet. Ini kerana terdapat pelbagai informasi dan juga aplikasi serta permainan dalam penggunaan internet. Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, pengguna akan menjadi leka sehingga menggunakan komputer berjam-jam lamanya. Oleh demikian , pengguna yang bijak haruslah memperuntukkan masa apabila menggunakan komputer. Misalnya mereka hanya boleh menggunakan internet selama dua jam sehari. Maka jelaslah menguruskan masa apabila menggunakan internet adalah langkah menjadi pengguna yang bijak.
Selain dari itu, pengguna internet yang bijak haruslah menggunakan internet hanya untuk urusan yang penting. Urusan yang penting ini merujuk kepada tugas harian yang harus diselesaikan. Bagi golongan pelajar, mereka boleh gunakan internet untuk mendapatkan maklumat untuk menyelesaikan tugasan yang diberi guru. Bagi golongan dewasa pula, mereka menggunakan internet untuk menyelesaikan kerja yang diberikan oleh majikannya. Sebagai contoh, ada pengguna yang sering melungsuri lelaman lain seperti media sosial “Facebook”, ketika membuat tugasan mereka. Ini adalah perbuatan yang kurang bijak. Oleh itu, dengan mendisiplinkan diri untuk menggunakan internet khusus pada urusan penting, akan menjadikan seorang itu pengguna internet yang bijak.
Cara seterusnya ialah, pengguna internet yang bijak tidak akan mendedahkan maklumat peribadi mereka di lelaman internet. Pengguna sering kali mendedahkan maklumat mereka apabila mereka menggunakan media sosial seperti “Facebook”. Segala maklumat peribadi mereka telah dimuatnaikkan ke lelaman tersebut seperti, alamat, nombor telefon serta umur mereka. Adakalanya gambar mereka juga dimuatnaikkan. Dengan berbuat demikian, seseorang akan menyalahgunakan maklumat kita untuk kepentingan mereka atau menganiaya kita. Dengan itu, tanpa mendedahkan maklumat peribadi di lelaman internet adalah langkah seorang pengguna yang bijak.
Selain itu, seorang pengguna internet yang bijaksana tidak akan mempercayai maklumat yang terdapat di internet seratus peratus. Maklumat yang terdapat di internet besar kemungkinan tidak benar kerana ia merupakan maklumat yang dimuatnaikkan oleh seseorang. Kita harus memastikan kesahihan maklumat tersebut dengan membuat kajian dan rujukan yang lebih mendalam. Dengan berbuat demikian, seseorang tidak akan mudah dipermainkan kerana dia lebih berhati-hati mempercayai maklumat tersebut. Maka jelaslah orang yang lebih berhati-hati mempercayai maklumat di internet adalah pengguna yang bijaksana.
Berdasarkan fakta-fakta yang dihujahkan, inilah di antara cara-cara untuk seseorang menjadi pengguna internet yang bijaksana. Saya cadangkan agar semua pengguna internet akan mempraktikkan cara-cara yang telah dibincangkan. Saya juga berharap agar perkara ini akan didedahkan kepada murid-murid di peringkat sekolah lagi agar ia menjadi budaya yang positif apabila mereka meningkat dewasa.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.