Cara-cara Saya Menjalani Gaya Hidup Sihat
Oleh: Siti Aisyah bte Mohamed Ismail (3M4)
Mengapa harus kita menjalani gaya hidup yang sihat? Ini agar kita akan lebih sihat dan bertenaga untuk menjalankan kehidupan seharian kita. Selain itu, dengan menjalani gaya hidup sihat, kita dapat menjauhkan diri daripada penyakit-penyakit yang merbahaya. Antara penyakit yang sering dihidapi oleh ramai individu adalah seperti kencing manis, darah tinggi dan juga sakit jantung. Ada beberapa cara yang setiap individu boleh lakukan untuk menjalani gaya hidup sihat.
Saya menjalani gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan saya. Saya menjauhkan diri daripada memakan makanan yang kurang berkhasiat seperti makanan yang bergoreng. Memang makanan bergoreng seperti ayam goreng dan kentang goreng disukai ramai tetapi ia kurang berkhasiat untuk kita. Kita lebih disyorkan untuk makan makanan yang direbus atau dikukus. Selain itu, setiap hidangan makanan perlu disertakan dengan dua hidangan sayuran dan buahan. Saya juga sentiasa makan tiga kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari dan juga makan malam. Pada pendapat saya, sarapan itu paling penting kerana ia dapat memberi kita tenaga untuk memulakan aktiviti yang ingin dilakukan pada hari tersebut.
Saya juga membuat aktiviti fizikal seperti bersenam pada masa lapang saya. Bersenam penting kerana ia akan menjadikan badan kita sihat dan minda kita juga bertambah cergas kerana otak yang cerdas terletak pada badan yang sihat. Oleh itu, saya akan ke stadium yang berdekatan dengan rumah untuk berlari-lari anak di balapan bersama abang saya pada setiap hujung minggu. Kami akan berlari-lari anak sekitar lima pusingan. Selain aktiviti fizikal, aktiviti untuk kesihatan mental juga penting bagi setiap individu.
Apa yang saya maksudkan dengan aktiviti mental? Contohnya ialah kita harus sentiasa berfikiran positif. Dengan sentiasa berfikiran positif, tahap keyakinan kita akan meningkat dan kita tidak akan mudah berasa sedih. Apabila kita bersedih, fikiran kita akan dikaburi dengan fikiran negatif. Saya juga tenangkan fikiran saya dengan berzikir. Ia membawa manfaat dan ketenangan kepada diri saya. Pada masa itu, saya dapat lupakan tentang masalah saya buat sementara. Saya juga berasa lebih tenang.
Apabila sudah bersenam, kita harus ingat bahawa badan kita juga memerlukan rehat yang sepenuhnya. Contohnya bagi remaja seperti saya, kami memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam untuk tidur. Dengan mendapat rehat yang sepenuhnya, kita pasti mempunyai tenaga untuk menjalankan aktiviti seharian kita. Kita tidak akan sentiasa berasa lemah dah letih.
Natijahnya, individu yang prihatin terhadap kesihatan mereka akan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat. Amalan ini perlu dibudayakan dalam kalangan masyarakat agar generasi hari ini sentiasa bertenaga untuk menyumbang kepada pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.