Tulis sebuah cerita mengenai satu kejadian yang menyedarkan kamu tentang peri pentingnya membuat perancangan untuk masa hadapan.
Tubuhku menjerit kepenatan lalu memberiku isyarat untuk ke kamar lebih awal dari malam-malam sebelumnya. Sejurus aku melabuhkan tubuhku di atas ranjang empukku, aku merasakan nikmat dan nyaman sekali gara-gara terhidu akan aroma terapi Lavender.
Pawana malam bertiup kencang menerpa masuk melalui jendela kamarku. Lagu tanpa irama nyanyian jengkerik dan salakkan anjing kedengaran sayup-sayup menerkam sepi malam. Entah mengapa mataku berdegil dan enggan ditutup. Aku pusing ke kiri lalu mengusap-ngusap rambut seorang kanak-kanak yang ikal mayang itu.
Aku keluar kamar dan duduk di beranda rumahku lalu teringat akan kejadian pahit yang minimpaku dahulu. Entah mengapa peristiwa yang pahit ini membuatku berasa sebegitu jijik dengan diriku sendiri. Sesungguhnya aku seorang insan yang tidak layak menumpang teduh di muka bumi ini. Aku mengimbau persitiwa pahit yang mendatangkan kebaikan itu...
Aku seorang manusia yang hanyut di dalam arus keseronokkan duniawi. Aku terlalu taksub pada kebendaan sehingga aku mengabaikan tanggungjawabku sebagai seorang anak dan peganganku sebagai seorang Islam. Hidupku dipenuhi noda-noda hitam dan dosa. Gara-gara ingin kehidupan yang bebas, aku selalu mangkir sekolah. Keasyikan dunia membuatku lupa akan semua kekecewaanku.
Aku lebih gemar berfoya-foya. Di rumah, aku selalu dileteri dan dipukul bantai ayah. Ibuku selalu mengurungku dengan harapan aku akan berubah. Aku langsung tidak mempedulikan pengorbanan mereka.
Di sekolah, aku selalu diingatkan untuk belajar hidup berdikari dan membuat perancangan untuk masa hadapan. Namun, aku tetap berkeras kepala dan memekakkan kupingku apabila diberi nasihat bak kata pepatah bagai mencurah air di daun keladi. Aku terlalu bergantung pada ibu bapaku. Jika aku gagal untuk mencapai prestasi yang diharapkan ibu, aku terpaksa menahan segala tomahan dan cercaannya yang menyengat dan memanaskan telingaku.
"Hei perempuan tua! Cuba kau diam sebelum aku hantar kau ke rumah tumpangan orang-orang tua," kataku dengan suara yang jengkel sambil merenung wajah tuanya dengan tajam.
Air matanya mengerlip di pelipis matanya yang layu lalu membasahi pipiya yang berkedut seribu dek dimamah usia. Bagaikan air hujan, air matanya tidak berhenti mencurah. Apa aku peduli. Semakin hari, aku tidak betah duduk di rumah. Aku ingin mencari kehidupan yang baru dan mula berjinak-jinak di kelab malam. Setiap kali aku melangkah masuk ke dalam tempat yang hina itu, aku dapat merasakan mata mereka menjilat seluruh tubuhku.
Aku dikenalkan dengan seorang pemuda yang bernama Johan. Rambutnya perang dan dia mempunyai tatu naga di belakang tubuhnya. Semenjak hari itu, terjalinlah hubungan intim di antara kami berdua. Aku sering pulang ke rumah apabila malam sudah kelam. Leteran ibu membuat api kebencianku terhadapnya semakin membuak-buak. Walhal, aku tahu dia hanya ingin yang terbaik untukku dan ingin aku berubah.
Kawan-kawanku di sekolah sering bertanyakan akan persiapanku untuk peperiksaan Peringkat Biasa kelak.
"Ah! Aku tidak perlu sijil itu, Siti. Aku anak orang kaya. Tamat aku di bangku persekolahan nanti, pasti bapaku akan menanggung semua keperluanku," kataku dengan nada yang angkuh.
Ia telah menjadi satu kebiasaan untuk menumpang satu atau dua malam di rumah Johan. Dialah tempatku mengadu suka dan dukaku. Dia berjanji akan menjadikanku isterinya. Apabila dia tiada, bayangannya sering menghantuiku. Senyumannya pula sering bermain di mataku. Hanya Johan sahaja yang bertahta di hatiku.
Aku mabuk. Aku mabuk cinta dua bulan sebelum peperiksaan Peringkat Biasaku. Aku sedar bahawa masa depanku akan hancur jika aku terus bersikap tidak peka sebegini. Aku hanya pulang ke rumah untuk mengambil wang jajan dan pakaian sahaja. Langit tidak selalu cerah, aku tidak sangka perkara ini akan terjadi padaku.
Tekakku asyik terasa mual dan aku sering mabuk. Kepalaku pusing bagaikan gasing. Pada awalnya, aku menganggap bahawa ini hanya perkara biasa tetapi malam kami menjalinkan hubungan seks sering menghantui diriku. Setelah membuat kepastian dengan memeriksa melalui alat pengesan kehamilan, jantungku nyaris-nyaris tercabut apabila keputusannya menunjukkan positif.
Bagaimana harusku menyampaikan berita yang getir ini kepada ibu bapaku? Masihkah ada belas kasihan untuk menerimaku sebagai anak? Perasaan resah dan gusar menerkam jiwaku. Pelbagai soalan bertali-arus mengisi kotak fikiranku. Panggilanku dimatikan Johan setelah beberapa kali aku cuba menghubunginya. Namun, aku tidak mudah menyerah. Akhirnya, dijawab juga.
"Huh! Apa! Kau hamil? Kau pasti itu anak aku? Jangan-jangan itu anak salah seorang lelaki yang sudah memperkosa kau kelmarin! Kau ni beban lah Alia," bentak Johan lalu mematikan telefon.
Hidupku bagaikan embun di hujung rumput. Pada bila-bila masa, kehidupan yang aku banggakan ini akan hancur serta-merta. Masa depanku pasti terjejas akibat tidak mempunyai perancangan dan hanya ingin menikmati keasyikan dunia. Fikiranku kusut akan kemusykilan yang menyirap setiap sarat yang ada pada diriku.
Hatiku tergores luka, bagai serpihan kaca yang terhempas ke lantai berkali-kali apabila memikirkan kata-kata kesat yang dilafazkan Johan, pemuda yang kononnya hendak mengahwiniku. Air mataku mula mengalir gara-gara tidak dapat menahan sebak di dada. Walaubagaimanapun, aku harus memberanikan diri dan menyampaikan berita yang akan mengecewakan kedua ibu bapaku.
Seluruh tubuhku menggigil. Aku menghampiri mereka dengan dahi yang dibasahi peluh.
"I.....ibu...a..ay...ayah, Alia..Alia hamil," ujarku dengan suara yang menggeletar sambil menundukkan kepalaku.
Ayahku yang panas baran merenungku dengan api kemarahan yang tidak pernah kulihat selama ini. Apa nak jadi, jadilah. Apakan daya, nasi sudahpun menjadi bubur. Tangannya diangkat tinggi lalu satu tamparan yang dahsyat hinggap di pipiku membuat tubuhku begitu lemah dan tidak berdaya. Lidahku kelu tidak terkata. Aku bagaikan seorang pengembara hilang peta.
"Kau keluar dari rumah ini, Alia! Aku malu mempunyai anak yang hina seperti kau! Kau telah menconteng arang ke mukaku!" tengking ayahku sambil membaling pakaianku.
Kata-kata ayah seolah-olah menghiris-hiris tangkai hatiku. Aku sudah kering air mata untuk dicurahkan lagi. Tumbang sudah tunggak ketabahanku. Aku kira ayah masih akan menerimaku di rumah, malah, sebaliknya pula. Tergamak sungguh perbuatannya. Siapa menduga perkara ini akan terjadi pada diriku? Setelah dihalau, aku kian sedar kepentingan membuat perancangan.
Kemanakah harus membawa diri selepas ini? Langkah yang mana yang harusku ambil? Tiga bulan sebelum peperiksaan Peringkat Biasa dan aku hamil. Masa depanku musnah gara-gara tidak mempunyai perancangan yang kukuh. Aku menumpang tidur di rumah temanku. Setelah dihalau, aku karam dalam samudra kehampaan. Aku bagaikan perahu dioleng gelombang.
Aku tidak sampai hati untuk menggugurkan anak ini. Aku bertekad untuk menjaganya dan menjadi ibu yang bertanggungjawab seperti ibuku. Sayangnya, aku hanya sedar akan pengorbanan ibuku pada lewat hari.
Lamunanku tercantas bagai benang layang-layang direntap angin keras. Aku kembali ke kamar dan melihat anakku. Kini sudah sepuluh tahun berlalu. Disebabkan peristiwa itu, aku selalu memberi nasihat kepada anakku agar berhati-hati dalam memilih kawan dan utamakan ilmu pelajaran. Aku menegaskan betapa pentingnya merancang tentang masa hadapan supaya mempunyai arah tujuan yang betul.
Segala rintangan yang digerakkan pasti akan melalui pelbagai kendala. Walau betapa pahit kejadian itu, aku yakin pasti ada hikmah di sebaliknya. Namun, barang yang lepas tidak usah dikenang seperti ungkapan lagu Imran Ajmain "yang sudah tu sudah".
Karya: Yasmeen (5A)
Karya: Yasmeen (5A)
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.