Oleh: Ahmad Habiebul Haadiey (5S1)
Kamu sekelas baru menyertai sebuah bengkel tentang keistimewaan Nasi Ambeng dalam masyarakat Melayu. Setelah melalui bengkel tersebut, pihak sekolah juga telah memberikan kamu peluang untuk menikmati hidangan Nasi Ambeng secara beramai-ramai. Gambarkan pengalaman dan perasaan kamu semasa menyertai bengkel tersebut. Berikan juga pengajaran yang boleh kamu raih daripada pengalaman itu.
Pada 11 Mac 2015, para pelajar Melayu menengah empat dan lima sekolah saya telah menyertai sebuah bengkel yang dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Melayu sekolah kami. Tujuan bengkel itu diadakan adalah untuk memperkenalkan para pelajar kepada makanan tradisional masyarakat Melayu serta sejarah di sebalik makanan tersebut. Bengkel Nasi Ambeng itu diadakan sempena sambutan Dwimingguan Budaya sekolah kami. Sungguh mekar senyuman saya dan rakan-rakan sekelas saya apabila guru kami, Cikgu Rashidah, memberitahu kami bahawa kami akan menghadiri bengkel tersebut. Pada wajah kami terpancar perasaan gembira dan teruja yang sungguh ketara. Ini kerana kami akan dijamu makan Nasi Ambeng yang lazat sebagai acara penutup tirai bengkel tersebut.
Pada hari tersebut, saya sekelas telah diberitahu oleh Cikgu Rashidah bahawa bengkel itu akan diadakan di bilik EE Hub yang terletak di tingkat empat. Saya dan rakan-rakan saya tergesa-gesa pergi ke EE Hub kerana kami tidak sabar untuk menghadiri bengkel tersebut. Dalam perjalanan ke EE Hub, kami telah bertukar-tukar informasi tentang apa yang kami tahu tentang makanan tradisional Melayu. Seminggu sebelum bengkel, para pelajar telah ditugaskan untuk mendapatkan informasi berkenaan Nasi Ambeng. Saya juga telah merujuk ibu bapa saya tentang pengalaman mereka makan Nasi Ambeng serta mengorek apa sahaja maklumat yang mereka ada tentang makanan tradisional tersebut.
Apabila kami tiba di EE Hub, kami terus mengambil tempat duduk kerana guru-guru telah menunggu dan sudah bersedia untuk memulakan bengkel tersebut. Apabila semua pelajar sudah hadir, bengkel pun bermula. Pada sesi awal bengkel itu, Cikgu Mus telah menceritakan tentang Nasi Ambeng dengan merujuk kepada slaid powerpoint. Saya berasa amat kagum dengan persembahan Cikgu Mus. Ia sangat jelas dan mudah untuk saya fahami. Saya juga berasa seronok dengan sesi soal-jawab yang dikelolakan oleh Cikgu Mus. Ini kerana beliau dapat mempertingkatkan pemahaman para pelajar tentang keistimewaan Nasi Ambeng.
Berdasarkan perkongsian hari itu, saya berupaya mengenal pasti lauk-pauk dan bahan-bahan yang digunakan dalam Nasi Ambeng. Antara lauk yang selalu dihidangkan dalam Nasi Ambeng itu adalah seperti rendang daging, ayam masak lemak, sambal goreng, begedel, serunding, tahu, tempe, urap dan mee goreng. Saya dan anggota kumpulan saya berasa sungguh lapar kerana kami tidak makan banyak semasa waktu rehat semata-mata untuk menikmati Nasi Ambeng.
Cikgu Mus juga menayangkan sebuah video tentang cara-cara hidangan Nasi Ambeng disiapkan. Saya berasa sungguh kagum dengan cara persiapan hidangan tersebut yang sangat teratur. Lauk demi lauk telah diatur di atas dulang yang telah dialaskan dengan daun pisang. Saya juga pelajari bahawa Nasi Ambeng juga boleh dihidangkan di atas dulang besar kerana dengan makan bersama, kita dapat mengeratkan silaturrahim antara ahli keluarga atau jiran tetangga. Saya berasa sungguh kagum dengan budaya Melayu kerana ianya sungguh indah kerana setiap aktiviti budaya kita mempunyai makna yang tersirat di sebaliknya.
Seterusnya, Cikgu Rahmat telah menceritakan tentang pengetahuan serta pengalamannya makan Nasi Ambeng. Persembahannya sama seperti Cikgu Mus. Ia jelas dan mudah untuk difahami oleh saya dan teman-teman. Topik tentang sejarah Nasi Ambeng yang diceritakan sangat menarik perhatian saya. Saya berasa amat berpuas hati dengan penyampaian beliau kerana ia sangat menarik dan saya dapat pengetahuan yang banyak tentang makanan tradisional tersebut.
Saya pelajari bahawa rupa-rupanya Nasi Ambeng merupakan salah satu makanan tradisional tempatan yang lazat dan masih popular dalam kalangan masyarakat Melayu. Saya juga pelajari bahawa asal-usul Nasi Ambeng adalah daripada orang-orang Jawa. Nasi Ambeng juga sering diadakan dalam majlis-majlis seperti kenduri arwah, majlis kesyukuran dan majlis pertunangan. Saya sangat suka dan setuju dengan acara makan Nasi Ambeng di dulang. Pada waktu dahulu, anggota masyarakat Melayu akan bergotong-royong untuk memasak dan menyiapkan makanan ini. Kini, masyarakat setempat boleh sahaja menempah Nasi Ambeng dan makanan tersebut akan dihantar dalam dulang terus ke rumah pelanggan. Oleh yang demikian, amalan makan di dulang masih dapat dikekalkan dalam masyarakat Melayu.
Saat yang amat dinantikan oleh para pelajar akhirnya tiba apabila pelajar telah menyiapkan tugasan masing-masing pada akhir bengkel tersebut. Kami telah membentuk kumpulan masing-masing. Setiap kumpulan mempunyai empat orang anggota sepertimana yang dilakukan semasa majlis-majlis keramaian orang Melayu.
Aroma Nasi Ambeng dapat saya hidu ketika saya dan rakan-rakan sedang menuruni tangga. Setibanya di kantin, kami mengambil tempat duduk masing-masing. Saya dan kumpulan saya bergilir-gilir menyaksikan cara-cara menyiapkan Nasi Ambeng. Dengan beralaskan daun pisang, kami lihat bagaimana lauk-pauk diatur dengan cara yang sangat kemas. Aroma daun pisang sahaja sudah membangkitkan selera apatah lagi aroma lauk-pauknya. Setiap kumpulan membawa dulang yang berisi dengan lauk-pauk Nasi Ambeng ke tempat duduk masing-masing dan menunggu arahan guru yang seterusnya. Apabila semua kumpulan pelajar telah mendapat dulang masing-masing, kami pun membaca doa makan bersama-sama dan mula menjamu selera. Sesungguhnya pengalaman ini merupakan suatu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Inilah pertama kali saya makan nasi di dulang yang besar. Saya serta teman-teman berasa sungguh seronok dapat makan bersama.
Menerusi bengkel ini, saya pelajari bahawa usaha untuk mengukuhkan silaturrahim antara rakan-rakan juga amat penting. Selain itu, saya dapat mempelajari bahawa Nasi Ambeng dapat meningkatkan permuafakatan dan persepakatan. Adab semasa makan juga perlu dipelihara kerana ia akan mencerminkan keperibadian seseorang. Melalui acara makan bersama, kami juga belajar nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati hak orang, sopan-santun dan bertolak-ansur. Justeru, melalui bengkel Nasi Ambeng ini, saya telah banyak menimba ilmu dan lebih menghargai adat tradisional masyarakat Melayu.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.