Gambarkan sebuah keadaan kritikal di hospital.
Aku bergegas ke hospital. Apabila aku mengetahui bahawa mata orang ramai memandang ke arahku, aku cuba untuk menahan air mataku daripada keluar tetapi benteng itu pecah juga. Air mata mula tumpah dari tasik bundar. Walaupun sang suria memancarkan sinaran yang amat panas, aku tetap berlari secepat mungkin ke hospital setelah mendapat penggilan bahawa ibuku dalam keadaan nazak. Hatiku bergedap-gedup dan fikiranku asyik memikirkan tentang ibuku. Aku menderita keseorangan kerana ayahku telah meninggalkan kami beberapa tahun yang lalu. Sejak itu, hanya tinggal ibu dan aku sahaja.
Aku melangkah masuk ke dalam hospital. Aku melihat jam tanganku yang berjenama G-Shock menunjukkan pukul 3.00 petang. Seragam sekolahku selekeh akibat berlari. Aku melihat ke kiri dan kanan, keadaan sangat senyap dan sepi tetapi masih juga terdengar bisikan pesakit-pesakit lain. Ada yang terbatuk tanpa henti dan ada juga yang senyum kerana diziarahi oleh anak-anak kesayangan mereka. Tanpa berlengah-lengah, aku bergegas menaiki lif. Aku menekan nombor ‘14’, tingkat di mana ibuku berada. Aku keseorangan di dalam lif itu. Hawa dingin yang terletak beberapa sentimeter di atas kepalaku meniup angin yang sejuk. Aku cuba untuk menenangkan diri dan meyakinkan diri bahawa segala-galanya akan menjadi baik. Hatiku pedih memikirkan tentang penderitaan ibu kesayanganku walau bagaimanapun berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Aku menghela nafas yang panjang dan berdoa agar ibuku akan pulih seperti sediakala. Aku keluar daripada lif sebaik sahaja pintu terbuka. Aku berjalan dengan cepat ke bilik ibuku. Setelah aku sampai, aku berdiri di luar dan cuba untuk menahan air mataku. Sayup dan pilu menghembat perasaanku. Jejariku yang halus itu memusing tombol pintu. Aku melihat ibuku terbaring di atas katil.
Hatiku pecah seribu melihat keadaan beliau. Wajahnya pucat dan bibirnya kering. Aku dapat mendengar hembusan nafas ibuku. Dengan perlahan-lahan, aku mengusap pipi ibuku lalu, rambutnya yang lembut. Kening beliau berkerut seolah-olah aku dapat rasakan bahawa ibuku dalam kesakitan yang sangat teruk. Rasa pilu mencucuk rangkai hatinya. Bunga-bunga kemesraan tidak langsung bercambah di wajah ibuku. Keadaan di dalam bilik sangat senyap. Aku cuma dapat mendengar titisan air jatuh di dalam kantung IV dan mesin pemantau jantung. Wayar-wayar disusun dengan rapi. Angin yang segar dan sejuk meniup wajahku dan mengeringkan titik peluh di dahiku. Aku memegang tangan ibuku dan menciumnya. Air mata mula berkumpul di kelopak mataku. Titisan air jernih jatuh berguguran dari sudut mataku. Aku meminta maaf kepada beliau atas segala dosa-dosa yang pernah aku lakukan. Aku berterima kasih kepadanya atas semua jasanya. Ibuku ialah seorang insan yang sangatku sayangi. Beliau telah membantuku dalam hampir semua masalah yang kuhadapi dan beliaulah yang menjaga makan minumku.
Aku tidak sangka penyakit ibuku seteruk ini. Penyakit barah. Aku benci dengan perkataan itu. Mengapalah ibuku? Tiba-tiba, mesin pemantau jantung berbunyi kuat. Degupan jantung menurun dan aku menjadi cemas. Aku memanggil doktor dengan segera. Beliau menggunakan alat AED untuk menyambungkan nyawa ibuku. Aku tidak tahu apa hendak dilakukan dan hanya berdoa sahaja. Aku keluar daripada bilik untuk menahan rasa sebakku. Selepas beberapa minit, doktor keluar daripada bilik lalu memegang bahuku. Doktor meminta maaf atas pemergian ibuku dan berjalan keluar. Mataku merenung sayu. Aku seperti dapat rasa hatiku berkecai. Aku mula berjalan menuju jasad ibuku. Aku mendakap tubuhnya dan menciumnya beberapa kali. Itulah kali terakhir aku dapat melihat wajahnya yang seperti seorang bidadari itu. Aku berdoa agar ibuku akan selamat di alam kubur nanti. Aku menutup mata dan menciumnya buat kali terakhir. Selamat tinggal ibuku.
Hasil karya,
Wahidah Amalin (2/5)
Sekolah Menengah Riverside
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.