Tulis sebuah cerita yang menunjukkan bahawa ilmu pengetahuan membuat kehidupan seseorang lebih bermakna.
Sebuah senyuman yang manis terukir di bibirku dengan serta-merta. Setitik demi setitik manik-manik jernih mula berguguran dari kelopak mataku. Aku menatap dan mengusap wajah manis di dalam bingkai gambar tersebut, seolah-olah seperti mereka berada di hadapanku. Merekalah yang merupakan pemangkinku sejak kecil lagi. Bayangan wajah mereka dan kenangan manis bersama orang-orang yang tercinta mula berdansa mengikut hembusan pawana yang dingin di luar jendela.
Pancaran sang suria yang terik seolah-olah sedang menyengat tubuhku bertubi-tubi. Aku mengelap dahiku yang dibasahi keringat dengan belakang tapak tanganku. Dari jauh, aku terlihat sesusuk tubuh yang mula menghampiriku. Tubuh yang lemah longlai dan muka yang sudah berkedut dapat dilihat dengan samar-samar. Suaranya yang berkumandang dari jauh jelas terpancar keletihan yang teramat sangat.
“Helmi, sudahlah tu nak. Biarkan ibu sahaja yang menyelesaikan tugas tersebut. Sudah, pergi belajar sana!” Itulah ibuku. Seorang bidadari syurga yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dan berputus asa. Aku pun menuruti suruhan ibuku dan bingkas bangun untuk memulakan sesi ulangkajiku.
Aku merenung wajah ibuku dari jauh. Beliau begitu teliti sekali menganyam bakul-bakul untuk dijual. Ia merupakan salah satu sumber untuk mendapatkan wang bagi membiayai yuran sekolah aku dan adik-beradik yang lain. Setelah kematian ayah tiga tahun yang lepas, ibuku terpaksa mengorak seribu langkah demi mencari sumber rezeki dari mana-mana sahaja. Oleh sebab kami merupakan keluarga yang paling susah di kampung itu, kami sering dipinggirkan oleh penduduk-penduduk yang lain. Biasalah, siapalah yang sudi untuk bertandang ke rumah yang usang itu. Kata-kata mereka sudah tidak lagi kami hiraukan. Kami sudah lali ibarat kata pepatah “alah bisa tegal biasa” dengan berita yang diumpat mereka tentang keluargaku.
Sebagai anak lelaki sulung di antara adik-beradikku semangat amanah dan tanggungjawab kian menusuk di dalam sanubariku untuk menanggung segala perbelanjaan keluargaku. Temannitaku, bondaku, tidak pernah membenarkanku untuk bekerja sambilan hanya disebabkan aku masih lagi bersekolah. Tambahan pula, tahun tersebut merupakan tahun aku menduduki peperiksaan peringkat ‘O’. Namun, aku tetap berdegil kerana aku tidak mahu pelajaran duniawi menjadi hambatan untukku menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak. Aku tidak sanggup melihat ibuku bersusah-payah mencari nafkah sebagai seorang penganyam bakul, penjual kuih-muih dan sebagainya. Dengan itu, aku telah merelakan diri untuk membuat semua pekerjaan tersebut serta mengajar adik-adikku setelah pulang dari sekolah. Walaupun susah untuk aku mengimbangi masa, namun, demi keluarga yang tercinta, aku sanggup untuk mengorbankan seluruh jiwa dan raga.
Siang berganti malam, masa untuk setiap insan mencari ketenangan di dalam kelam. Dengan perlahan, aku membuka pintu kamar ibuku. Aku menuju ke bingkai katil dan duduk bersebelahan dengan bondaku sambil menatap wajahnya dengan penuh rasa cinta. Aku menggenggam erat jari-jemarinya sambal merenung ke luar. “Kebisuan” yang penuh dengan kata-kata itu amatku fahami. Aku faham apa yang terbuku di dalam kotak hati ibuku. Air mata mengalir deras dari kelopak mata bonda. Tangisan tersebut bukan bererti kalah tetapi kerana beliau hanya inginkan yang terbaik buat kami walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Aku bertekad untuk mengubah kehidupan keluargaku, memutuskan lingkaran kemiskinan yang selama ini menghantui kami.
Keputusan peperiksaanku sudah tiba. Aku berlari ke arah ibuku yang setia menungguku di perkarangan sekolah. Dengan serta-merta aku pun mendakap tubuhnya yang kurus itu. Sanubariku melonjak kegembiraan dan wajah ibuku yang gelisah sebentar tadi bertukar menjadi lega. Aku memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada sang IIlahi. Dialah yang memberiku kejayaan yang tidak pernahku jangkakan. Perjalanan hidupku telah pun aku atur dengan rapi dan hanya mampu berserah kepadaNya, Tuhan yang menentukan takdirku. Satu ujian duniawi telah pun aku lalui. Kini, aku harus memandang ke hadapan, menceburi dan menerokai dunia luar yang tiada sempadannya. Sememangnya, medan peperanganku belum berakhir lagi tetapi baru sahaja bermula.
Hari demi hari, tahun demi tahun, masa yang silih berganti berlalu begitu pantas sekali. Dalam masa beberapa tahun, aku telah berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan. Demi menceburi bidang tersebut, aku terpaksa meninggalkan keluarga yang terlalu berharga dalam hidupku. Namun, aku percaya bahawa usaha yang gigih pasti akan membuahkan hasil. Walau betapa perit, harusku lalui, semuanya akan berbaloi akhirnya nanti.
Kini aku bakal digelar sebagai seorang jurutera. Namun, tidak pernah ada satu saat pun yang paling berharga kepadaku kecuali tatkala aku harus berpenat-lelah mencari nafkah setiap kali pulang dari sekolah. Kata-kata cacian yang dilemparkan kepadaku dan setiap kegagalan yang aku tempuhi tidak akan bertandang kecuali dengan matlamat untuk membangkitkan diriku menjadi seorang insan yang lebih matang. Dengan adanya sedikit kemewahan, bondaku tidak perlu lagi bersusah-payah mengambil tiga pekerjaan dalam satu masa. Keluargaku juga telah berpindah ke sebuah rumah yang jauh lebih baik kondisinya jika dibandingkan dengan tempat perteduhan kami dahulu. Kehidupan kami sememangnya bertambah lebih baik daripada yang asal. Semua ini tidak dapat diperoleh kecuali dengan usaha yang tidak putus-putus oleh setiap ahli keluarga. Ketekunan dan kesabaran merupakan tunggak kejayaan.
Aku tersentak dari lamunanku tatkala aku terasa kehangatan air mata yang berlinangan di pipiku. Kenangan manis bersama keluargaku masih segar di ingatanku. Walaupun kemewahan baru sahaja dikecapi namun secebis kenikmatan itu hanya dapat dinikmati oleh ibuku buat tempoh yang sementara sahaja. Bidadari syurgaku telah menyambut seruan IIlahi tatkala aku dinaikkan pangkat di tempat kerjaku. Masa yang diluangkan bersama terasa begitu terhad sekali. Segala pengorbanan bonda tidak akanku lupakan sama sekali. Terlalu murni jasanya dalam mengasuh aku dan adik-beradik yang lain. Hingga ke saat ini, kata-kata bonda masih lagi terngiang-ngiang di dalam telingaku. Kegagalan bukan bererti kekalahan tetapi kegagalan merupakan satu kesedaran untuk kita bangkit dari kesusahan. Kejayaan tidak dapat diperoleh tanpa usaha yang gigih. Bak kata pepatah Melayu, “jikalau tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagunya.” Itulah pesanan terakhir bondaku sebelum beliau memejamkan matanya buat selama-lamanya.
Nurul Nabilah Binte Adnan
Menengah 4/8
4HML
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.