Sarankan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan pelajar sementara menunggu keputusan peperiksaan peringkat ‘O’ diumumkan sebagai perancangan untuk masa depan mereka.
Para pelajar adalah tunggak kejayaan sesebuah negara pada masa hadapan. Mempunyai sijil yang berkelayakkan tinggi amat penting di era masa kini, apatah lagi dengan ekonomi negara yang makin maju sekarang ini. Namun selepas menduduki peperiksaan, para pelajar boleh mengisi masa mereka dengan aktiviti berguna sementara menunggu keputusan peperiksaan peringkat ‘O’ diumumkan. Sudahkah para pelajar membuat sebarang perancangan dan persediaan? Apakah aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan pelajar sementara menunggu keputusan peperiksaan peringkat ‘O’ diumumkan sebagai perancangan masa depan mereka?
Aktiviti pertama yang pelajar boleh lakukan ialah untuk melawati rumah-rumah terbuka yang diadakan di setiap maktab rendah dan institusi-institusi tinggi di merata Singapura. Dengan menjenguk ke rumah terbuka tersebut, para pelajar akan dapat mengetahui lebih lanjut lagi tentang mata pelajaran yang mereka minati. Soalan yang berbuku di dalam hati pasti terjawab oleh pelajar atau pegawai di institusi tersebut. Pelajar juga dapat menerima sagu hati daripada rumah terbuka tersebut. Lantas, dengan mengetahui bidang mana yang sesuai untuk diri mereka, para pelajar dapat membuat persiapan dan perancangan untuk masa hadapan mereka supaya mereka tidak buntu membuat pilihan apabila mendapat keputusan peringkat ‘O’ mereka. Oleh itu, melawati rumah terbuka mempunyai faedahnya yang tersendiri. Para pelajar dapat mengetahui apa yang terbaik untuk mereka pada masa hadapan.
Selanjutnya, para pelajar boleh bekerja untuk masa yang singkat sementara menunggu keputusan peperiksaan peringkat ‘O’ diumumkan. Dengan bekerja di tempat-tempat yang digemari mereka, para pelajar dapat menambah lebih banyak ilmu dan pengalaman tentang susah senangnya mencari duit sendiri. Mereka dapat berdikari dan dapat bersedia menghadapi sebarang kesukaran di tempat kerja pada masa hadapan. Selain itu, pelajar dapat menimba banyak pengetahuan tentang pekerjaan itu, lantas dapat menarik minat mereka. Dengan mempunyai minat, pelajar dapat membuat perancangan untuk masa depan mereka. Sebagai contoh, saya mempunyai seorang rakan yang minat dengan pelajaran mengenai perniagaan. Lantas, dia mencari pekerjaan di sebuah butik pakaian yang agak popular di Orchard. Oleh kerana dia sudah mempunyai pengalaman, dia dapat membuat perancangan untuk dirinya meneruskan pengajian di Politeknik Republik dalam jurusan perniagaan. Dengan bekerja sementara menunggu keputusan, pelajar dapat menambah pengalaman dalam bidang yang diminati.
Aktiviti selanjutnya, pelajar boleh menghadiri forum-forum yang telah diadakan khas buat pelajar-pelajar yang sedang menunggu keputusan ‘O’ mereka. Forum-forum sebegini biasanya djayakan oleh seseorang yang sudah mahir dalam memberikan pandangan dan pilihan jurusan yang sesuai buat pelajar, seperti profesor atau pensyarah di university tempatan. Dengan kemahirannya, saya pasti para pelajar akan dapat memahami tentang pentingnya memilih jurusan yang diminati. Mereka juga boleh memberanikan diri untuk menanyakan tentang keraguan mereka, lantas dapat dibincangkan di dalam kumpulan yang mungkin juga mempunyai keraguan yang sama. Contohnya, forum yang tidak begitu mahal kosnya akan dapat menarik minat para pelajar terutamanya yang masih sangsi dengan perancangan masa depan mereka. Saya pasti forum sebegini dapat membantu para pelajar membuat persiapan serta perancangan untuk masa depan mereka dalam memilih destinasi mereka selepas mendapat keputusan ‘O’ mereka. Secara ringkas, menghadiri forum-forum sebegini dapat membantu pelajar membuat perancangan masa depan mereka, sementara menunggu keputusan peperiksaan peringkat ‘O’ diumumkan.
Selain itu, pelajar boleh bersiar-siar bersama rakan mereka. Para pelajar pada zaman ini lebih rapat dengan rakan mereka berbanding dengan ibu bapa. Dengan bersiar-siar bersama, para pelajar boleh menasihati sesama sendiri tentang baiknya membuat perancangan untuk masa depan mereka. Oleh kerana para pelajar seusia dengan rakan mereka, idea yang disalurkan pasti dapat mendorong pelajar membuat yang terbaik bagi masa depan mereka. Pelajar yang berfikiran positif dapat menyakinkan rakan mereka untuk menyambung pelajaran di institusi tinggi untuk masa depan yang cerah. Contohnya, seseorang pelajar telah mendorong rakannya untuk menyambung pengajiannya ke politeknik dan mengambil jurusan seni kerana lukisan rakannya serta minatnya terhadap seni akan dapat membantunya pada masa hadapan. Oleh itu dengan meluangkan masa bersama rakan, mereka dapat membuat perancangan sementara menunggu keputusan peperiksaan ‘O’ mereka.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai aktiviti yang dapat dilakukan para pelajar sementara menunggu keputusan peperiksaan mereka diumumkan. Mereka boleh membuat perancangan untuk masa depan mereka. Di Singapura ini terdapat banyak pilihan untuk meneruskan pelajaran seperti di maktab rendah, politeknik dan institusi tinggi seperti sekolah seni. Saya berharap agar pelajar sedar betapa pentingnya mengisi masa mereka dengan aktiviti yang berfaedah kerana sesungguhnya masa itu emas.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.