Jelaskan cara-cara untuk menyemai sifat berbudi bahasa dalam kalangan warga Singapura.
Pada zaman moden ini, sifat berbudi bahasa semakin terhakis dalam kalangan warga Singapura. Sifat berbudi bahasa merupakan amalan baik yang perlu ada dalam diri setiap insan. Dengan sifat berbudi bahasa ini, ia akan menjadikan seseorang itu insan yang baik dan mulia.
Terdapat beberapa cara untuk menyemai sifat berbudi bahasa ini. Cara pertama adalah melalui diri individu itu sendiri. Setiap individu harus sentiasa mengingatkan dirinya supaya mengamalkan sifat berbudi bahasa sebelum dia dapat mengingatkan orang lain. Sebagai seorang insan, kita diberi akal untuk membezakan perkara yang baik daripada yang buruk. Justeru, kita berperanan untuk saling mengingatkan. Tanpa sifat berbudi bahasa ini, kita akan menjadi insan yang tidak berguna kepada nusa dan bangsa kerana sikap buruk kita itu akan memalukan masyarakat. Justeru, kita harus sentiasa berusaha untuk memperbaiki akhlak kita dari masa ke semasa.
Selanjutnya, peranan keluarga tidak boleh dikesisikan. Para ibu bapa perlu mengambil berat dan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa anak mereka berbudi bahasa. Ibu bapa harus menyemai sikap berbudi bahasa yang tinggi dalam diri anak-anak mereka dan menanam sifat berbudi bahasa ini sejak kecil lagi. Seperti kata pepatah, 'Jika hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya'. Ibu bapa berperanan membentuk peribadi anak-anak kerana anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih yang akhirnya dicorakkan oleh ibu bapa itu sendiri. Kebijaksanaan ibu bapa mencorak kain putih ini pasti akan melahirkan insan yang berbudi bahasa.
Selain daripada ibu bapa, sekolah juga bertanggungjawab untuk melahirkan sifat-sifat murni ini dalam diri setiap pelajar. Sekolah memainkan peranan penting kerana ramai remaja selalunya menghabiskan lebih banyak masanya di sekolah berbanding di rumah. Dengan itu, sekolah-sekolah juga memainkan peranan yang besar dalam membentuk sifat para pelajar mereka melalui aktiviti atau program yang dirancangkan. Guru-guru harus mengajar pelajar-pelajar agar lebih bersopan santun terhadap orang di sekeliling mereka contohnya melalui pembelajaran ekplisit seperti dalam mata pelajaran perwatakan dan kenegaraan. Guru harus mengajar tentang peri pentingnya sifat bertimbang rasa supaya mereka tidak hanya mementingkan diri sendiri. Ini penting kerana pada zaman ini, manusia sibuk mengejar kejayaan sehingga terlupa tentang sifat-sifat murni seperti berbudi bahasa. Dengan ini, sekolah dan guru mempunyai peranan yang penting bagi membentuk sifat berbudi bahasa mereka di sekolah.
Cara terakhir untuk menyemai sifat berbudi bahasa dalam kalangan warga Singapura adalah melalui iklan di televisyen atau radio. Kanak-kanak suka menonton televisyen dan orang dewasa pula suka mendengar radio. Melalui iklan, kanak-kanak dapat mempelajari pelbagai sifat berbudi bahasa dan didedahkan pada contohan yang baik. Ternyata kanak-kanak sering terpengaruh dengan apa yang dilihat di kaca televisyen. Dengan ini, sifat berbudi bahasa ini dapat dipupuk dalam diri kanak-kanak ini.
Pendek kata sifat berbudi bahasa ini penting. Ia perlu dipaparkan melalui tutur kata dan kelakuan. Kita tidak mahu generasi akan datang menjadi masyarakat yang tidak berbudi bahasa. Semua pihak harus menitikberatkan hal ini dan menggemblengkan tenaga bersama-sama menyemai sifat berbudi bahasa dalam diri setiap insan.
Hasil karya
MUHAMMAD IRFAN B ZAILAN
Menengah 5/3
Sekolah Menengah Riverside
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.