Tulis sebuah cerita mengenai suatu harapan yang berakhir dengan kekecewaan.
Tujahan cahaya matahari pagi menampar dada bilikku. Ia seakan-akan tidak lupa pada rutinnya. Pohon-pohon pula menari-nari ditiup angin bagaikan berbisik. Aku sedang mengemas bilikku dan meletakkan barang-barang itu ke dalam kotak. Aku dan suamiku telah membuat keputusan untuk berpindah dari rumah ini kerana bagi diriku, rumah ini ada banyak kenangan yang sudah lama kutangisi kepiluan diri walaupun tiada air mata yang mengiringi diriku lagi. Sedang aku melipat kain-kain bajuku, aku ternampak sesuatu, sesuatu yang dahulu boleh memberiku harapan tetapi akhirnya harapan itu jatuh berderai umpama jutaan kaca yang jatuh bersepai. Ingatanku kembali menjangkau suasana masa lampau.
"Jangan lupa makan ubat ini 3 kali sehari selepas waktu makan."
"Baiklah, terima kasih doktor." aku menjawab dengan nada suaraku bagaikan sembilu menghiris tangkai hatiku.
"Bersabarlah Puan, Insya Allah pasti ada rezeki suatu hari nanti." kata doktor Salinah, memberi aku semangat. Aku hanya tersenyum namun senyumanku tidak dapat menutup mendung yang menyeliputi wajahku. Beberapa hari, aku selalu berasa mual-mual dan kadangkala aku muntah-muntah. Aku sangkakan aku telah mengandung, rupa-rupanya hanya disebabkan keracunan makanan. Hatiku terlalu dukacita. Aku dan suamiku sudah hampir 12 tahun berumahtangga dan sehingga sekarang belum ada rezeki mempunyai anak. Alangkah gembiranya jika aku mendapat berita bahawa aku mengandung. Fikiranku tiba-tiba dikejutan dengan orang memanggil namaku. Aku terus ke kaunter dan membayar kos ubatanku dan juga perundinganku dengan doktor.
Selepas itu, aku telah membuat keputusan untuk pergi ke sebuah tempat, tempat yang boleh menenangkan fikiranku dan pada masa yang sama boleh membuatku mengukirkan senyuman di bibirku. Taman permainan, itulah tempatnya. Di situlah, terdapat ramai kanak-kanak kecil bersuka ria dan aku juga boleh menumpang gembira. Tiba sahaja di sana, aku melihat keriangan yang tergambar di wajah ibu bapa yang bermain bersama anak-anak mereka. Aku juga boleh melihat sinar gembira mengerlip di mata mereka mahupun ibu bapa atau anak mereka. Aku teringin mempunyai sebuah keluarga, sebuah keluarga yang bahagia dan kasih sayang yang tidak akan terputus tetapi ini semua hanya khayalan dan tidak akan menjadi kenyataan. Pedih sungguh hatiku. Tiba-tiba telefon bimbitku berdering.
"Awak di mana?" tanya suamiku.
"Saya ada di taman permainan, saya akan pulang ke rumah tidak lama lagi." kataku. Aku terus mengorak langkah untuk pulang ke rumah dengan penuh kesedihan. Aku seperti mahu berputus asa sahaja. Tiba di rumah, aku meluahkan kesedihanku. Juraian air mata mengalir lalu meleleh di lurah pipiku. Aku merasakan sofa di sebelahku celup kemudian terasa tangan hinggap di atas bahuku. Aku melemparkan pandangku ke arah tangan itu lalu terpandang wajah suamiku.
"Janganlah menangis. Bersabar. Insya Allah, dengan izin Allah pasti akan ada rezeki. Sudah, jangan bersedih lagi." kata suamiku. Aku amat bersyukur kerana mempunyai seorang suami yang sentiasa menyokong dan memahami aku. Suamikulah yang sentiasa memberiku semangat untuk meneruskan hidup.
Rutin aku setiap hari hampir sama, bangun pada waktu pagi, menyiapkan sarapan untuk suamiku lalu membuat kerja rumah. Tiap-tiap hari aku akan hanya melakukannya tetapi pada suatu hari, sesuatu berlaku. Sedang aku membuat sarapan pagi untuk suamiku, tiba-tiba kepalaku berasa pening, badanku berasa sungguh berat bagaikan hendak jatuh, penglihatanku semakin menjadi kabur kemudian kegelapan mengatasi diriku. Aku hanya melihat kegelapan. Sungguh gelap dan tiada erti seperti kehidupanku ini. Pertanyaan demi pertanyaan sering menjentik hati dan perasaanku.
Aku bukakan mataku dan sedari bahawa diriku di hospital. Aku bernasib baik kerana pada waktu aku rebah, suamiku berada di rumah dan telah menyaksikan kejadian tersebut lalu mengejarkanku ke hospital. Kini, aku dan suamiku sedang menunggu keputusan dari doktor di atas sebab kejadian tadi. Fikiranku melayang jauh. Tiba-tiba bunyi ketukan pintu.
"Bagaimana doktor? Isteri saya sakit?" tanya suamiku sejurus sahaja doktor itu melangkah masuk ke bilikku. Wajah doktor itu kelihatan pelik. Dia kelihatan gembira.
"Tahniah Tuan, isteri tuan hamil, sudah dua minggu!" kata doktorku dengan senyuman. Hamil? Aku hamil? Sudah dua minggu? Aku hamil! Hatiku melonjak kegembiraan.
"Terima kasih doktor, terima kasih!" kataku dan suamiku. Akhirnya saat yang aku nanti-nantikan setiap hari menjadi kenyataan. Rasa gembira dan syukur berbunga di lubuk hatiku dan suamiku. Aku hamil! Aku dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat. Aku masih tidak percaya yang aku hamil. Hampir 12 tahun aku menunggu saat ini, saat aku diberi tahu yang aku hamil. Terima kasih ya Allah, atas keizinanmu. Suamiku menjaga aku dengan baik ketika aku sedang hamil, diberi makan yang cukup dan di suruh untuk mengurangkan membuat kerja-kerja yang meletihkan diriku. Akhirnya, kehidupanku lebih bermakna. Aku dan suamiku dapat hidup dengan bahagia dan tenang. Lama-kelamaan, kandunganku semakin kelihatan. Kita akan menjadi sebuah keluarga yang amat bahagia. Aku yakin.
"Abang! Tolong, saya kesakitan!" aku menjerit. Sedang aku mengemas di dapur rumahku, perut berasa sakit dan bisa, seakan-akan dipulas dan ditikam berkali-kali tanpa belas kasihan. Tiba-tiba darah mula mengalir di kakiku, membasahi lantai yang dahulunya putih dan kini merah.
Aku di bawa ke hospital lalu di hantar ke bilik kecemasan. Air mataku mula tumpah dari tasik bundar. Aku tidak dapat menahan kesakitannya lagi seperti mahu dicabut nyawaku. Sejurus sahaja aku tersedar, aku melihat suamiku.
"Bagaimana dengan anak kita? Dia tidak apa-apakan?" tanya aku terhadap suamiku dengan harapan. Suamiku hanya tunduk lalu menggelengkan kepalanya.
"Anak kita sudah tiada lagi." kata suamiku dengan penuh kekecewaan. Kata-kata suamiku itu menikam terus ke jangtungku. Mengapa harus bencana menimpa kerianganku? Mengapa? Hatiku pecah seribu. Hatiku menjadi kebas. Diriku seperti tidak bernyawa lagi. Kebahagian dan harapan yang tinggi menggunung kini jatuh berkecai.
Aku hanya mempunyai suami disisiku yang menyayangiku walaupun aku telah mengecewakannya. Aku melalui kemurungan dan suamikulah yang memberiku semangat untuk hidup dan meneruskan perjuangan. Ingatanku tiba-tiba dikejutkan oleh ketukan perlahan pintu bilikku. Aku membuka pintu lalu melihat suamiku.
"Sudah selesai semuanya?" tanya suamiku.
"Hampir selesai, saya terjumpa gambar ini semasa mengemas kain-kain baju kita." kataku kepada suamiku. Gambar itu ialah gambar anakku semasa aku melalui pemeriksaan imbasan ketika aku sedang mengandungkannya. Itulah harapanku tetapi dengan sekelip mata ia musnah dan berakhir dengan kekecewaan.
Hasil karya: Nur Hazimah Ramli (5B)