Tuesday, 21 July 2015

Deskriptif 1 (EVG)


Gambarkan pengalaman kamu sewaktu berdarmawisata di luar sekolah.

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

            Pada Selasa yang lalu, aku, rakan-rakan kelasku dan guruku telah berdarmawisata ke Taman Warisan Melayu. Taman Warisan Melayu itu terletak di Kampung Glam dan wujud sejak zaman pemerintahan British. Taman Warisan Melayu juga memaparkan persembahan teater, tarian dan nyanyian tradisional Melayu. Pertandingan membuat tembikar dan kain batik juga diadakan di situ. Aku berasa sungguh teruja kerana lawatan itu merupakan pertama kali aku berdarmawisata bersama rakan-rakan kelasku semenjak sekolah bermula. 

            Sebelum kami menuju ke Taman Warisan, kami telah diberikan biskut gula oleh guru-guru yang baik hati. Beberapa minit kemudian, kami pun menaiki bas. Aku melihat keindahan alam sekeliling melalui tingkap bas. Aku tidak sabar untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang sejarah Singapura. Kami mendengar arahan daripada guru-guru kami di dalam bas. Kami telah diberikan buku serta kertas aktiviti mengenai Taman Warisan dan sejarah Singapura. 

            Sejam kemudian, bas kami pun sampai ke destinasinya. Kami terus keluar dari bas lalu beratur sementara guru-guru mengira jumlah murid yang keluar dari bas. Sedang kami berjalan menuju ke bangunan Taman Warisan, aku menghidu udara yang nyaman dan segar. Selain itu, aku menghidu makanan, masakan dan rempah ratus yang disediakan restoran-restoran yang terletak bersebelahan dengan Taman Warisan.  

            Apabila kami tiba di sana, kami berpeluang melihat pancutan air, sebuah masjid, rumah kedai dan sebuah muzium. Kami pun diarahkan untuk duduk di atas lantai kayu. Guru kami pula membahagikan kami kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama akan bermain permainan tradisional seperti sepak takraw, guli, batu seremban, capteh dan lain-lain lagi. Manakala, kumpulan kedua pula akan melawat muzium yang menyediakan pameran kain batik, wayang kulit dan artifak-artifak yang ditinggalkan oleh nenek moyang. Kami berasa sungguh seronok apabila bermain permainan tradisional bersama-sama. Jarang sekali kami berpeluang untuk bermain permainan tradisional. 

 

            Beberapa minit kemudian, kami terus menuju ke dalam muzium. Kami diberikan penerangan oleh pemandu muzium. Kami mendengar dengan teliti sewaktu pemandu muzium menerangkan kepada kami tentang bagaimana Singapura mendapat namanya. Terdapat pelbagai gambar dan artifak yang dapat kulihat di dalam muzium itu. Segmen yang paling aku gemari ialah apabila kami menonton cerita-cerita lama yang dilakonkan oleh Allahyarham P.Ramlee dan pelakon-pelakon mapan terkenal yang lain. Sungguh menarik sekali! 

            Sebaik sahaja kami selesai lawatan di muzium, guru kami membahagikan kelas kami kepada tiga kumpulan iaitu Kumpulan Lapis, Ondeh-Ondeh dan Nagasari. Aku digolongkan ke dalam kumpulan Lapis bersama beberapa rakan-rakanku. Secara kebetulan, kuih lapis merupakan kuih kegemaranku, Kami diarahkan untuk mencari jawapan bagi soalan yang dinyatakan di dalam buku aktiviti. Kami berlari ke sana dan ke sini untuk mencari jawapan yang tepat dalam jangka masa yang diberikan. Malangnya, kami tidak dapat menjawab kesemua soalan kerana kesuntukan masa. Kami pun berkumpul di ruang legar. 

            Hari pula semakin gelap. Jam tanganku menunjukkan tepat pukul lima petang. Masa untuk kami pulang ke sekolah. Di dalam bas, guru kami menyuruh kami membuat refleksi tentang lawatan ke Taman Warisan Melayu. Aku berasa sungguh seronak dan gembira apabila dapat bermain permainan tradisional Melayu. Aku juga mempelajari tentang sejarah Singapura dan lagu-lagu yang diciptakan oleh Allahyarham P.Ramlee dan penggubah lagu yang lain. Aku berharap aku dapat melawati Taman Warisan Melayu sekali lagi. 

 

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

Cetusan minda Nurhamidah Bte MohamaD Affendi

1 Respect

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.