Tulis sebuah karangan yang berakhir dengan sesuatu yang membanggakan.
~ ~ ~ ~ ~
Masihku ingat kata-kata ibu
kandungku pada saat-saat akhirnya. Ibuku mengatakan bahawa kebahagiaan itu
datang selepas dugaan. Setelah kematian Ibuku, sukar untuk Aku menerima
ketiadaannya. Aku dan Adikku diambil sebagai anak angkat oleh seorang wanita dan
suaminya. Hidupku bersama keluarga baharuku amat susah.
Aku dan Adikku sentiasa ditengking
dan dibuli oleh anak wanita tersebut. Aku dan Adikku terpaksa hidup dalam kesengsaraan. Namun, seperti yang dikatakan
Ibuku, Aku percaya suatu hari nanti, Aku akan dapat membanggakan diriku. Aku
mengimbas kembali kepada peristiwa yang telah berlaku kepadaku dua tahun yang
lalu.
Air mataku jatuh bercucuran. Soalan
demi soalan menembusi fikiranku. Apakah salahku terhadap Syamirah? Mengapakah
dia membenciku? Aku tidak pernah mengganggunya. Aku merenung ke luar jendela
sambil mengesat air mataku. Pada saat itu, Adikku memasuki bilikku.
“Kakak, kenapa kakak menangis? Kak
Mirah marah kakak lagi?” Adikku menanyaku.
Aku menggelengkan kepalaku lalu
berkata,“Tidak, Lina. Kak Mirah hanya salah faham dengan Kakak.” Aku senyum
sambil mengusap kepala adikku.
Pada malam itu, kata-kata Syamirah
terngiang-ngiang di fikiranku.
“Engkau ini hanya anak angkat. Kau
bukan hebat sangat. Kalau Aku boleh halau Kau dengan adik kau, tentu Aku sudah
halau,” katanya.
Tidak dapatku pejamkan mataku kerana
kata-katanya itu. Aku hanya memikirkan ibu kandungku. Ketika itu, hatiku berasa
tenang lalu Aku tertidur.
Aku terjaga dari tidur setelah
dikejutkan ibu angkatku. Aku dengan segera bersiap sedia untuk ke sekolah lalu
menuju ke meja makan. Jantungku berdebar-debar dengan pantas apabila Aku sampai
di meja makan. Syamirah melihat mukaku lalu menjelingku. Aku boleh nampak
dendam Syamirah terhadapku daripada wajahnya. Ibu angkatku mengukirkan senyuman
kepadaku lalu memberikanku sarapan. Belum sempat Aku menikmati makananku,
Syamirah menghamburkan kata-kata kasar kepadaku. Aku hanya mendiamkan diri.
Pada saat itu, Syamirah berasa amat geram lalu mencapai buku sekolahku dan
membuangnya ke dalam tong sampah. Kemarahan mula membara di hatiku. Aku tidak
dapat mengawal emosi lalu meninggikan suaraku.
“Apa masalah Kau dengan Aku? Aku
tidak pernah mengganggu Kau. Kenapa Kau bencikan Aku? Hidup Kau itu senang
bukan macam Aku. Ibuku sudah tidak ada, Kau masih ada ibu. Kenapa Kau mahu
menyusahkan hidup Aku!” senang sahaja kata-kata itu terhambur daripada mulutku.
Syamirah memekik sehingga uratnya
kelihatan,“Disebabkan Kau dan adik kau, hidupku sengsara. Kau telah merampas
kasih sayang Ibu daripadaku. Semenjak Kau datang, Ibu hanya mementingkan Kau.
Ini semua kerana Kau!”
Aku tergamam. Tidakku sangka Syamirah
berasa cemburu terhadapku dan menuduhku dengan melulu Aku telah merampas kasih
sayang Ibu daripada anaknya sendiri. Ibu angkatku dengan segera memujuk Aku dan
Syamirah.
“Syamirah, jangan sangka yang Ibu lebih
sayang Aisyah dan Lina. Ibu sayang kamu semua. Ibu mengambil Aisyah dengan Lina
kerana kasihankan kamu. Kamu sentiasa keseorangan di rumah,” jelas Ibu.
Air mata jatuh berlinangan di pipi
Aku dan Syamirah. Dengan segera Syamirah memelukku dengan erat lalu meminta
maaf kerana selama ini dia telah membuat hidupku dan adikku susah. Aku
tersenyum serta memaafkannya. Pada saat itu, dugaan yang Aku hadapi selama ini
telah pun berakhir. Semenjak peristiwa itu, Aku dan Syamirah seperti isi dengan
kuku.Hubungan kami lebih rapat dan erat.
Aku terjaga daripada lamunanku
apabila terdengar suara Syamirah yang sedang memanggilku dari jauh. Aku
melangkah ke arahnya dengan pantas. Betul yang dikatakan oleh Ibuku,
kebahagiaan akan datang selepas dugaan. Aku bersyukur kerana persengketaan Aku
dengan Syamirah berakhir dengan hubungan persaudaraan yang membanggakan.
~ ~ ~ ~ ~
Cetusan
minda Iris Ferlynna Putri
2 Enterprise
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.