Nyatakan bagaimana pendidikan secara holistik dapat
menyediakan pelajar menghadapi cabaran masa hadapan.
~ ~ ~ ~ ~
Pendidikan
secara holistik merujuk kepada suatu sistem bersepadu yang menyeluruh. Ini merangkumi
subjek bukan akademik yang dapat mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran
pada masa hadapan. Oleh itu, pendidikan secara holistik dapat menyediakan para
pelajar untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Setiap
pelajar digalakkan untuk menyertai aktiviti kokurikular (CCA). Melalui CCA, kemahiran berkomunikasi dan
sifat kepimpinan pelajar akan diasah. Setiap CCA memerlukan pelajar yang berdisiplin
dan komited untuk menghadiri CCA.
Contohnya, jika pelajar menyertai pasukan seragam, pelajar itu perlu
berdisiplin dari segi masa, menyediakan pakaian seragam yang kemas dan menghadiri
setiap latihan perbarisan.
Melalui
CCA, sifat kepimpinan pelajar akan diasah kerana pelajar perlu mengetuai sebuah
kumpulan dan bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan kumpulan tersebut dengan
bimbingan guru. Ada kalanya pelajar perlu membuat cadangan untuk
aktiviti-aktiviti perkhemahan dan ini dapat mendidik pelajar untuk bersikap
terbuka semasa mempertimbangkan cadangan-cadangan rakan-rakan dan maklum balas
yang diberikan oleh para guru. Nilai-nilai ini berguna untuk pelajar bagi
menghadapi cabaran masa hadapan.
Pada
setiap minggu, pelajar perlu melalui Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan
(CCE) yang dapat memupuk nilai-nilai murni dan sikap positif dalam menguruskan
masalah dalam kehidupan. CCE juga dapat menerapkan kehidupan yang lebih sihat
dan positif - contohnya apabila guru menunjukkan sebuah video tentang isu-isu
kekeluargaan.
Kemudian,
guru itu akan mengadakan perbincangan secara kelas. Ada kalanya, pelajar
berbincang secara berkumpulan dan setiap pelajar perlu melibatkan diri dalam
aktiviti tersebut. Selepas berbincang secara berkumpulan, setiap kumpulan perlu
membuat pembentangan di hadapan kelas tentang idea-idea mereka seperti cara-cara
merapatkan hubungan antara ahli keluarga dan masyarakat. Ini dapat menyemai
sikap positif dan pemikiran lebih matang sekiranya pelajar menghadapi cabaran
dalam kehidupan kelak.
Selain
daripada mempunyai keupayaan untuk mengatasi masalah pada masa hadapan, pelajar
yang berfikiran matang akan mengetahui bahawa mereka perlu bersikap berdaya saing
pada zaman globalisasi ini. Subjek seperti ilmu alam akan membuatkan pelajar
lebih prihatin tentang keadaan alam sekitar dan kesan pembangunan terhadap
dunia. Subjek sejarah pula akan mendedahkan pelajar kepada hubungan di antara Singapura
dan dunia serta kepentingan sistem ekonomi, politik dan sosial yang mantap
untuk kemajuan negara.
Bahasa
Inggeris dan bahasa ibunda memainkan peranan penting dalam mempersiapkan
pelajar untuk masa hadapan. Oleh kerana
bahasa Inggeris merupakan bahasa universal, bahasa Inggeris merupakan bahasa asas
untuk berkomunikasi di tempat kerja, lebih-lebih lagi apabila kita berurusan
dengan pelbagai bangsa. Pelajar yang fasih dan mahir berbahasa Inggeris akan
mudah berurusan dengan lebih ramai orang, lantas mengembangkan perniagaannya
jika dia seorang peniaga.
Sebaliknya,
seseorang yang tidak mahir berbahasa Inggeris akan menghadapi lebih banyak
tekanan apabila menempuh cabaran, seperti mudah ditipu orang dan kurang
mendapat teman. Bahasa Inggeris memudahkan pelajar menimba ilmu dan menyerap
pengaruh Barat manakala bahasa ibunda akan memastikan pelajar melestarikan
budaya, bangsa dan mengekalkan identiti mereka sebagai orang Asia yang
berbangsa Melayu, Cina atau India.
Seterusnya,
pendidikan jasmani juga penting dalam menyediakan pelajar untuk menghadapi
cabaran masa hadapan. Pendidikan jasmani memastikan pelajar bersenam dan
mempunyai badan yang cergas dan otak yang cerdas. Ilmu yang didapati daripada
pendidikan jasmani juga membuatkan pelajar tahu cara-cara melakukan senaman
dengan betul, pemakanan yang seimbang dan mendedahkan pelajar kepada pelbagai
jenis sukan seperti badminton, bola jaring dan sukan lasak yang menyeronokkan. Dengan
ilmu ini, pelajar akan lebih yakin untuk bersenam dan menjadikan sukan sebagai aktiviti
riadah semasa remaja hingga dewasa kelak.
Kesimpulannya,
pendidikan secara holistik dapat menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran
masa hadapan. Melalui program-program
dan pendidikan yang holistik, pelajar dipersiapkan dengan kemahiran dan ilmu
pengetahuan yang akan membantu mereka untuk menjadi warga yang prihatin dan
berdaya saing.
~ ~ ~ ~ ~
Cetusan minda Ruzaini B Abdul Rahman
3 Integrity
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.