Tuesday, 21 July 2015

Emel Tidak Rasmi 2 (EVG)


E-mel Tidak Rasmi

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

Daripada: aiman_ikhsan@yahoo.com
Kepada: dayang_dahlia@yahoo.com
Subjek: Pengalaman, persiapan dan manfaat melakukan kerja kemasyarakatan

di Laos


Dayang Dahlia,


E-mel awak telah saya baca. Saya di sini sihat sahaja. Awak pula bagaimana?  Saya berharap awak dalam keadaan sihat. Saya ingin berkongsi pengalaman saya semasa melakukan kerja kemasyarakatan di Lao. Saya juga ingin berkongsi tentang persiapan-persiapan yang perlu dibuat dan juga pengajaran yang dapat diraih oleh para peserta setelah menjalankan kerja kemasyarakatan itu.

 

Di Laos, saya telah melakukan banyak aktiviti. Salah satu aktiviti yang telah saya lakukan ialah mengecat tembok di rumah tumpangan anak yatim yang berdekatan dengan dormitori mereka. Saya dan rakan-rakan saya bersemangat dan bekerjasama pada pagi itu untuk mengecat bilik tidur penghuni-penghuni rumah tumpangan tersebut. Saya berasa amat letih selepas melakukan tugasan itu. Walaupun kami amat penat, kami bermain bola sepak bersama –anak-anak yatim yang tinggal di situ dan kami amat gembira kerana dapat menghiburkan mereka dan membuat mereka tersenyum lebar kerana bilik tidur mereka kelihatan lebih cantik dan bersih.

 

Terdapat banyak persiapan yang harus kami lakukan seperti menghubungi organisasi yang tertentu terlebih dahulu. Awak boleh mendapatkan maklumat tentang pelbagai organisasi melalui lelaman web Google. Memandangkan menelefon organisasi di luar negara amat mahal, awak boleh mengirimkan e-mel kepada mereka.  Melalui e-mel awak, awak boleh memberitahu apa yang awak dan kawan-kawan mahu lakukan di sana. Ini akan menunjukkan bahawa awak berfikiran matang dan tahu motif dan juga tujuan apabila di Kemboja nanti. Awak harus mencari lebih daripada satu organisasi kerana ada yang mungkin akan menolak rancangan awak. Oleh itu, awak harus menyediakan rancangan tambahan. Awak juga harus melakukan persiapan yang teliti supaya semua perkara berjalan dengan lancar apabila di Kemboja nanti.

 

Persiapan kedua yang harus awak lakukan ialah awak harus mempelajari bahasa orang-orang Kemboja, iaitu bahasa Khmer. Awak boleh mempelajari bahasa mereka melalui lelaman web seperti “Google Translate”. Awak perlu mempelajari perkataan-perkataan yang asas seperti ‘selamat pagi’, ‘terima kasih’ dan juga menanya nama dan khabar mereka. Ini akan memastikan awak boleh berkomunikasi dengan orang-orang tempatan di Kemboja dengan lebih baik kerana mungkin ada penduduk Kemboja yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Jika awak boleh berkomunikasi dengan mereka, ini akan menyenangkan urusan awak di sana. Persiapan ini juga membolehkan awak membuat kawan baharu dengan lebih senang. 

 

Terdapat banyak manfaat yang dapat diraih oleh para peserta. Salah satunya ialah pentingnya bekerjasama dan berkomunikasi antara satu sama lain.  Bekerjasama amat penting kerana tanpa bekerjasama, rancangan awak tidak akan berjalan dengan lancar dan ahli-ahli kumpulan awak mungkin akan bertengkar antara satu sama lain kerana tidak bersefahaman.  Bekerjasama di antara satu sama lain dapat mengajar para peserta untuk mengongsi tanggungjawab mereka dan tugasan pada hari itu akan dilakukan dengan lancar dan cepat. Berkomunikasi antara satu sama lain juga penting kerana ini akan mengelakkan daripada pergaduhan dan pertengkaran antara satu sama lain. Berkomunikasi juga membolehkan para peserta untuk meluahkan perasaan mereka dan mereka boleh memberi idea atau maklumat yang tepat dan menyeluruh kepada ahli-ahli kumpulan yang lain.

 

Manfaat kedua yang dapat diraih oleh para peserta daripada kerja kemasyarakatan di Kemboja ialah mereka akan lebih bersyukur dengan apa yang mereka ada setelah melakukan kerja kemasyarakatan tersebut. Mereka juga akan mempelajari untuk tidak mengambil kesempatan di atas kesenangan mereka dan tidak akan meminta lebih daripada apa yang mereka ada. Kini, mereka sedar bahawa ada orang yang hidup dalam kesusahan dan tiada cukup wang untuk membeli makanan. Ada juga yang tiada rumah dan tidur di tepi jalan dan harus meminta sedekah kepada orang awam untuk menggunakan duit itu untuk perbelanjaan seharian mereka atau untuk menampung keluarga.   Ini akan membuat para peserta rasa bersyukur kerana mereka ada tempat tinggal yang tetap tidak seperti di Kemboja.

 

Saya harap saranan-saranan saya tentang persiapan-persiapan yang perlu awak buat dapat menolong awak untuk menyediakan diri sebelum ke Kemboja.  Saya juga berharap projek awak akan berjalan dengan lancar dan awak akan mendapat pengalaman yang semasa menjalankan tugas. Jangan lupa untuk berkongsi dengan saya tentang pengalaman awak semasa awak berada di sana.

 

Yang benar

Aiman Ikhsan

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

Cetusan minda Khalisah Bte Rosman

4 Enterprise

Emel Tidak Rasmi 1 (EVG)


E-mel Tidak Rasmi

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

Daripada: radenaditya@e-warkah.com

Kepada: umarshah@e-warkah.com

Tarikh: 27/03/2014

Subjek: Bengkel Motivasi dan Kemahiran Belajar

 

Umar

 

Saya sekeluarga sihat sejahtera. Bagaimana pula dengan awak? Memang benar sudah lama kita tidak saling berkirim e-mel. Maklumlah kita saling sibuk dengan kehidupan kita sendiri. Di dalam e-mel awak, awak mengatakan bahawa awak ingin saya berkongsi manfaat-manfaat dan kemahiran yang telah saya raih setelah menghadiri bengkel motivasi dan pendapat saya jika bengkel itu patut diteruskan. Usah bimbang, saya akan berkongsi dan memberi pendapat saya mengenai bengkel motivasi yang saya hadiri di sekolah.

 

Manfaat yang boleh saya raih setelah menghadiri bengkel motivasi ialah saya dapat mempelajari teknik dan strategi belajar yang berkesan. Contohnya saya diajar untuk menggunakan peta minda dan pena berwarna-warni semasa mengulang kaji pelajaran. Ini kerana minda kita dapat memberi perhatian pada satu topik dahulu dan juga boleh membantu kita mengingati kata-kata kunci yang penting dengan senang. Oleh itu, para pelajar yang menduduki perperiksaan peringat ‘O’ tahun ini perlu menghadiri bengkel motivasi untuk mempelajari teknik dan strategi belajar yang berkesan.

 

Manfaat kedua ialah saya dapat mempelajari cara untuk menggunakan dan mengatur masa dengan baik. Sebagai pelajar senior di sekolah, amat penting untuk kita menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar tingkatan rendah. Di peringkat menengah empat pelbagai peranan yang perlu kita ambil. Banyak tanggungjawab yang perlu kita laksanakan sebagai seorang ketua dalam aktiviti ko-korikular dan sebagai seorang pelajar. Ramai pelajar mempunyai masalah untuk membahagikan masa mereka. Contohnya dengan membuat jadual waktu dan cara para pelajar dapat mengikut jadual mereka supaya mereka akan menjadi pelajar yang berjaya.

Selain daripada itu, kemahiran yang saya pelajari dapat membentuk jati diri saya. Pengisian rohani dan teknik menguasai minda dan emosi diri dapat saya ikuti. Cara saya berkomunikasi, bekerjasama dan juga berinteraksi dalam membuat sesuatu pertimbangan juga dapat diperhalusi menerusi bengkel ini. Bengkel motivasi juga mendidik kita untuk menjauhi diri daripada pengaruh negatif. Contohnya apabila kita mempunyai matlamat dan tujuan yang jelas, kita akan hidup berpandukan matlamat itu dan akan bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Oleh itu, pelajar yang akan menduduki peperiksaan peringkat ‘O’ pada tahun ini patut menyertainya untuk membina jati diri mereka.

 

Seterusnya, kemahiran yang amat penting ialah cara mendisiplinkan diri. Jika kita berdisplin, kita akan mudah mencapai kecemerlangan. Dengan adanya disiplin di dalam diri kita, kita akan hidup senang berbanding dengan pelajar yang tidak mempunyai disiplin. Contohnya, kita tidak akan sering dimarahi oleh guru dan dapat memberi perhatian kepada pelajaran. Kita juga dapat menjalani kehidupan dengan positif.  Oleh itu, pelajar perlu dididik dengan sikap disiplin supaya cemerlang dan menjadi kebanggaan ibu bapa.

 

Akhir sekali, bengkel itu patut diteruskan demi kebaikan para pelajar pada masa hadapan kerana masa di bangku sekolah merupakan masa yang terbaik buat pelajar mempelajari sifat-sifat berdisiplin, teknik dan strategi yang berkesan. Pelajar boleh menggunakan teknik dan strategi mereka apabila mereka dewasa dan mula bekerja. Ini kerana, apabila pelajar sudah dewasa, mereka mungkin terlalu sibuk dan berasa tertekan. Jika mereka hendak menghadiri bengkal motivasi, mereka perlu mengeluarkan belanja kerana bukan murah menghadiri bengkal motivasi.

 

Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan. Semoga bersua lagi di lain lembaran dan kirim salam kepada keluarga awak.

 

Yang Benar

Aditya

Cetusan minda Siti Nur’Aini

4 Enterprise

Naratif 2 (EVG)


Dugaan Hidup

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

            Belas hati Ain melihat keadaan ayahnya yang terlantar di atas katil. Keadaan ayah Ain semakin kritikal kerana ayahnya menghidapi penyakit barah. Ayah Ain terlantar di atas katil sejak beberapa hari yang lalu. 

             “Sabarlah, Emak. Sekejap lagi doktor akan datang,” pujuk Ain sambil menggenggam tangan ibunya. 

            Ayah Ain diperiksa dengan teliti oleh Dr. Khairul. Dr. Khairul mencadangkan agar ayah Ain dihantar ke hospital secepat mungkin kerana penyakit barah ayahnya semakin genting. Ketumbuhan yang terperangkap perlu dikeluarkan secepat mungkin. Sekiranya ketumbuhan itu dibiarkan, penyakit itu akan membesar dan ayah Ain mungkin akan meninggal dunia. Dr. Khairul mencadangkan supaya ayah Ain dibedah. 

            Tersentak Ain mendengar penerangan Dr. Khairul itu. Pembedahan? Apakah perasaan Ayah nanti apabila mengetahui bahawa dia perlu dibedah? Bersediakah Ayah untuk menerima kenyataan ini? Fikirannya menjadi buntu seketika. 

            Ain akur. Dia membantu ibunya memapah ayahnya masuk ke dalam kereta. Ayahnya juga seakan-akan sudah pasrah. Mereka tidak menyangka penyakit barah yang dihidapi Ayah selama dua tahun itu boleh menyebabkan keadaan sebegini genting. 

            Sejurus mereka sampai di hospital, Ayah langsung dibawa ke wad kecemasan. Doktor yang memeriksa Ayah mencadangkan Ayah dirawati dengan segera. Doktor juga memberikan harapan bahawa Ayah dapat diselamatkan. 

            Kini, Ain terpaksa berada di hospital selama seminggu. Ain berpeluang untuk bertanya kepada para doktor dan jururawat yang bertugas tentang hal-hal yang bersangkutan dengan penyakit ayahnya. 

            Selang beberapa hari, Ain gembira kerana keadaan ayahnya semakin baik. Dia bersyukur melihat ayahnya yang dapat kembali tersenyum. Ain berharap agar penyakit ayahnya itu dapat dikawal supaya beban yang ditanggung oleh ayahnya selama ini berkurangan. 

 

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

Cetusan minda Md Rafiq Md Rafan

2 Dynamic

 

Naratif 1 (EVG)


Tulis sebuah karangan yang berakhir dengan sesuatu yang membanggakan.

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

            Masihku ingat kata-kata ibu kandungku pada saat-saat akhirnya. Ibuku mengatakan bahawa kebahagiaan itu datang selepas dugaan. Setelah kematian Ibuku, sukar untuk Aku menerima ketiadaannya. Aku dan Adikku diambil sebagai anak angkat oleh seorang wanita dan suaminya. Hidupku bersama keluarga baharuku amat susah.  

            Aku dan Adikku sentiasa ditengking dan dibuli oleh anak wanita tersebut. Aku dan Adikku terpaksa hidup dalam  kesengsaraan. Namun, seperti yang dikatakan Ibuku, Aku percaya suatu hari nanti, Aku akan dapat membanggakan diriku. Aku mengimbas kembali kepada peristiwa yang telah berlaku kepadaku dua tahun yang lalu. 

            Air mataku jatuh bercucuran. Soalan demi soalan menembusi fikiranku. Apakah salahku terhadap Syamirah? Mengapakah dia membenciku? Aku tidak pernah mengganggunya. Aku merenung ke luar jendela sambil mengesat air mataku. Pada saat itu, Adikku memasuki bilikku. 

            “Kakak, kenapa kakak menangis? Kak Mirah marah kakak lagi?” Adikku menanyaku. 

            Aku menggelengkan kepalaku lalu berkata,“Tidak, Lina. Kak Mirah hanya salah faham dengan Kakak.” Aku senyum sambil mengusap kepala adikku. 

            Pada malam itu, kata-kata Syamirah terngiang-ngiang di fikiranku.  

            “Engkau ini hanya anak angkat. Kau bukan hebat sangat. Kalau Aku boleh halau Kau dengan adik kau, tentu Aku sudah halau,” katanya. 

            Tidak dapatku pejamkan mataku kerana kata-katanya itu. Aku hanya memikirkan ibu kandungku. Ketika itu, hatiku berasa tenang lalu Aku tertidur. 

            Aku terjaga dari tidur setelah dikejutkan ibu angkatku. Aku dengan segera bersiap sedia untuk ke sekolah lalu menuju ke meja makan. Jantungku berdebar-debar dengan pantas apabila Aku sampai di meja makan. Syamirah melihat mukaku lalu menjelingku. Aku boleh nampak dendam Syamirah terhadapku daripada wajahnya. Ibu angkatku mengukirkan senyuman kepadaku lalu memberikanku sarapan. Belum sempat Aku menikmati makananku, Syamirah menghamburkan kata-kata kasar kepadaku. Aku hanya mendiamkan diri. Pada saat itu, Syamirah berasa amat geram lalu mencapai buku sekolahku dan membuangnya ke dalam tong sampah. Kemarahan mula membara di hatiku. Aku tidak dapat mengawal emosi lalu meninggikan suaraku. 

            “Apa masalah Kau dengan Aku? Aku tidak pernah mengganggu Kau. Kenapa Kau bencikan Aku? Hidup Kau itu senang bukan macam Aku. Ibuku sudah tidak ada, Kau masih ada ibu. Kenapa Kau mahu menyusahkan hidup Aku!” senang sahaja kata-kata itu terhambur daripada mulutku. 

            Syamirah memekik sehingga uratnya kelihatan,“Disebabkan Kau dan adik kau, hidupku sengsara. Kau telah merampas kasih sayang Ibu daripadaku. Semenjak Kau datang, Ibu hanya mementingkan Kau. Ini semua kerana Kau!” 

            Aku tergamam. Tidakku sangka Syamirah berasa cemburu terhadapku dan menuduhku dengan melulu Aku telah merampas kasih sayang Ibu daripada anaknya sendiri. Ibu angkatku dengan segera memujuk Aku dan Syamirah. 

            “Syamirah, jangan sangka yang Ibu lebih sayang Aisyah dan Lina. Ibu sayang kamu semua. Ibu mengambil Aisyah dengan Lina kerana kasihankan kamu. Kamu sentiasa keseorangan di rumah,” jelas Ibu. 

            Air mata jatuh berlinangan di pipi Aku dan Syamirah. Dengan segera Syamirah memelukku dengan erat lalu meminta maaf kerana selama ini dia telah membuat hidupku dan adikku susah. Aku tersenyum serta memaafkannya. Pada saat itu, dugaan yang Aku hadapi selama ini telah pun berakhir. Semenjak peristiwa itu, Aku dan Syamirah seperti isi dengan kuku.Hubungan kami lebih rapat dan erat. 

            Aku terjaga daripada lamunanku apabila terdengar suara Syamirah yang sedang memanggilku dari jauh. Aku melangkah ke arahnya dengan pantas. Betul yang dikatakan oleh Ibuku, kebahagiaan akan datang selepas dugaan. Aku bersyukur kerana persengketaan Aku dengan Syamirah berakhir dengan hubungan persaudaraan yang membanggakan. 

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

Cetusan minda Iris Ferlynna Putri

2 Enterprise

Ekspositori 3 (EVG)


Penggunaan alat komunikasi moden yang berlebihan menyebabkan    masyarakat sekarang kurang berkomunikasi secara bersemuka dan terdapat kesan-kesannya. Berikan pendapat kamu.

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

            Pada masa dahulu, sebelum adanya alat komunikasi, ramai daripada kita akan keluar untuk menziarah jiran dan saudara-mara. Ini dilakukan kerana sistem komunikasi yang terhad. Namun, kini dengan alat komunikasi moden membolehkan seseorang berkomunikasi antara satu sama lain tanpa bersemuka. Ini telah menyebabkan masyarakat kita kurang berkomunikasi secara empat mata. Adakah ini sesuatu yang positif ataupun negatif? 

            Hal ini merupakan sesuatu yang negatif kerana telah menyebabkan hubungan antara keluarga renggang. Ini berlaku apabila anggota-anggota keluarga ketagih dengan alat komunikasi mereka yang serba moden. Ini kerana alat-alat komunikasi ini mempunyai banyak fungsi yang menarik di dalamnya dan dapat menyebabkan seseorang itu ketagih sehinggakan menggunakannya di mana-mana sahaja dia berada. Contohnya, ramai keluarga tidak berkomunikasi antara satu sama lain semasa makan. Mereka rasa bahawa alat komunikasi mereka yang canggih itu jauh lebih menarik daripada berbual dengan anggota keluarga mereka sendiri.  

            Kedua, dengan adanya alat komunikasi moden, seseorang akan dapat meluahkan rasa hatinya di lelaman media sosial.  Selalunya, seseorang itu akan lebih beralas ketika bercakap secara bersemuka daripada bebas menaip melalui media sosial yang lebih bersifat emosional.  Contohnya, kisah Amy Cheong, di mana dia mempersoalkan kemampuan orang Melayu untuk mengadakan majlis perkahwinan di kolong blok sehingga mengganggu ketenteraman para penduduk yang ingin berehat. 

            Luahan perasaannya yang berbaur penghinaan itu telah dibidas keras oleh orang Melayu dan pihak pemerintah.  Akhirnya, dia dipecat oleh majikannya dan telah berhijrah ke Australia kerana kata-katanya itu telah menguris hati orang Melayu. Dengan itu, nyata, bahawa penggunaan alat komunikasi yang berlebihan telah menyebabkan masyarakat sekarang  kurang berkomunikasi dan juga telah menyebabkan konflik antara rakyat Singapura sendiri.  

            Namun, terdapat juga kesan-kesan yang positif dengan adanya alat komunikasi yang moden. Pertama, ia telah memberikan kesenangan bagi seseorang untuk berkomunikasi dengan sesiapa sahaja. Dahulu, jika seseorang ingin mengadu kepada menteri tentang sesuatu perkara, mereka harus tunggu seminggu sekali untuk  sesi menteri bertemu dengan para penduduk.  

            Tambahan pula, dengan adanya alat komunikasi yang moden, kebanyakan menteri telah mempunyai akaun Facebook sendiri.  Ini  membuka peluang bagi rakyat untuk memaklumkan sesuatu perkara kepada menteri dan pihak berkuasa. Para menteri dan pihak berkuasa dapat membalas aduan orang awam dengan cepat dan tindakan yang sewajarnya akan diambil dengan segara. Oleh yang demikian, nyata, bahawa penggunaan alat komunikasi yang berlebihan telah menyebabkan masyarakat sekarang kurang berkomunikasi secara bersemuka tetapi dapat membawa kesan yang positif. 

            Akhir sekali, hal ini merupakan sesuatu yang positif kerana telah membuka peluang bagi sesuatu tugas itu untuk diselesaikan dengan lebih cepat jika ia merupakan sesuatu projek yang harus diselesaikan dalam kumpulan. Dahulu, jika sesebuah projek harus diselesaikan, ia akan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikannya dan seringkali, ia membuang banyak masa bagi pelajar-pelajar kerana pelajar harus menggunakan masa mereka untuk berjumpa dan menyelesaikannya bersama.  

            Namun, dengan adanya alat-alat moden ini, sebuah projek dapat dibahagikan kepada setiap anggota untuk menyelesaikan bahagian masing-masing di rumah sendiri. Ini kerana dengan adanya Whatsapp, gambar boleh dipetik dan dikongsikan kepada anggota kumpulan mengenai perkembangan yang telah dilakukan. Anggota kumpulan pula dapt memberikan saranan-saranan untuk memperbaik bahagiannya itu. Ini dapat memastikan bahawa mutu projek itu tinggi dan dapat diselesaikan dengan cepat. Dengan itu, nyata, bahawa penggunaan alat komunikasi moden yang berlebihan telah menyebabkan masyarakat sekarang kurang berkomunikasi secara bersemuka.  

            Natijahnya, pengunaan alat komunikasi yang moden dapat membawa banyak faedah bagi masyarkat kita jika ia dapat digunakan dengan baik. Jika tidak, masalah-masalh sosial boleh timbul. Kita, sebagai manusia yang dapat berfikir harus memilih dan menggunakannya dengan sebaiknya agar keadaan masyarakat kita dapat lebih diperbaik.

 

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

Cetusan minda Muhammad Bin Abdul Rahman

4 Respect (2014)

Ekspositori 2 (EVG)


Bincangkan bagaimana nilai-nilai murni boleh menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara.

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

             ‘Rosak badan kerana penyakit, rosak bangsa kerana laku’ membawa maksud bahawa penyakit yang dihidapi itu boleh merosakkan keelokan rupa kita, begitu juga kelakuan yang keji itu boleh merosakkan nama baik bangsa kita.  Walaupun peribahasa ini memperkatakan bahawa kelakuan seseorang itu mencerminkan bangsanya, ini boleh dikaitkan dengan nama baik sesebuah negara. Kelakuan yang keji itu boleh merosakkan nama baik negara. Rakyat yang mengamalkan nilai-nilai murni dapat mengharumkan nama baik sesebuah negara dan menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara. 

            Pertama, jika rakyat sesebuah negara mengamalkan nilai ketabahan, negara itu boleh mengatasi masalah-masalah yang menghalang sesebuah negara itu daripada maju. Jika rakyat negara itu senang berputus asa, negara itu tidak akan maju kerana mereka tidak akan dapat mengatasi masalah yang dihadapi.  Rakyat sesebuah negara haruslah melihat masalah-masalah yang dihadapi sebagai cabaran yang perlu difikirkan huraiannya.  

            Sebagai contoh, Singapura mempunyai cabaran tiada sumber semula jadi terutama air dan terpaksa bergantung kepada Malaysia. Rakyat Singapura tidak berputus asa bahkan membina beberapa takungan air di serata Singapura. Bendungan Marina merupakan takungan air yang terbesar di Singapura dan dapat memastikan supaya lebih banyak air ditakung. Bahkan usaha untuk mengatasi masalah ini diteruskan sehingga terciptanya Air Baru. Nilai ketabahan membolehkan Singapura maju kerana tidak perlu lagi bergantung kepada Malaysia untuk membekalkan air. Kepakaran dalam mencipta Air Baru menarik perhatian dunia terutama negara-negara yang menghadapi masalah kekurangan air. Oleh itu, nilai tabah amat penting kerana akan memastikan sesebuah negara itu tetap gigih berusaha untuk mengatasi masalah yang menghalang kemajuan sesebuah negara. 

            Kedua, rakyat sesebuah negara haruslah mengamalkan nilai hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama. Jika sesebuah negara tidak mempunyai keharmonian kaum, pergaduhan antara pelbagai kaum akan tercetus. Keadaan sesebuah negara itu tidak akan aman dan negara itu tidak akan maju kerana rakyatnya sibuk dengan pergaduhan antara mereka. Mereka tidak akan memberikan fokus semasa membangunkan ekonomi dan infrastruktur negara.  

            Sebagai contoh, jika tiada keharmonian kaum, para pelajar dan para pekerja tidak akan dapat bekerjasama untuk menuntut ilmu atau menjalankan tanggungjawab mereka sebagai para pekerja yang produktif.  Bahkan rakyat negara itu akan berasa curiga kepada mereka yang berlainan bangsa dan agama dan sentiasa berada dalam ketakutan. 

            Selanjutnya, nilai bekerja keras akan menyumbang kepada kemajuan negara. Jika rakyat sesebuah negara menyumbang kepada masyarakat dengan melakukan yang terbaik dalam pekerjaannya, meraka akan menyumbang kepada kemajuan negara. Contohnya, kemudahan perubatan dan kepakaran para doktor di Singapura dikenali ramai. Oleh itu, ramai pesakit dari luar negara yang mendapatkan rawatan di Singapura seperti kembar siam Ganga and Jamuna yang berjaya dipisahkan. Kejayaan ini memperkenalkan Singapura kepada dunia.  

            Selain itu, prasarana yang mesra alam dan perkhidmatan yang baik dan memuaskan membolehkan Lapangan Terbang Changi memenangi anugerah Lapangan Terbang yang Terbaik Dunia selama tiga tahun berturut-turut. Oleh itu, mengamalkan nilai bekerja keras dan memberikan yang terbaik akan menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara. 

            Selain itu, nilai bergotong-royong dan bekerjasama amat penting untuk kemajuan sesebuah negara Ini adalah kerana kerjasama antara rakyat sesebuah negara akan menolong sesebuah negara itu maju dengan membolehkan rakyatnya bekerjasama untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh negara itu Dengan adanya kerjasama antara rakyatnya, masalah tersebut akan diatasi dengan cepat. 

            Seterusnya, rakyat sesebuah negara haruslah mengamalkan nilai amanah bak peribahasa ‘berani kena benar, takut kerana salah’ untuk menegakkan kebenaran. Jika sesebuah negara itu sedang menghadapi masalah dan rakyatnya tiada nilai amanah, akan rosaklah nama baik negara itu. Contohnya, negara yang pemerintahnya tidak mengamalkan rasuah dan menguatkuasakan undang-undang yang ketat untuk menghindari rasuah membolehkan negara itu maju kerana ramai peniaga dari dalam dan luar negara akan berurusan dengan negara tersebut. 

            Kesimpulannya, nilai-nilai murni seperti keharmonian kaum, ketabahan, amanah, bekerjasama dan rajin bekerja untuk memberikan yang terbaik akan menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara. Tanpa nilai-nilai murni, sifat-sifat buruk rakyat sesebuah negara akan menghambat kemajuan negara tersebut.

 

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

Cetusan minda Siti Nurul Hidayah Bte Hyder

4 Enterprise

 

 

Ekspositori 1 (EVG)


Nyatakan bagaimana pendidikan secara holistik dapat menyediakan pelajar menghadapi cabaran masa hadapan.

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

            Pendidikan secara holistik merujuk kepada suatu sistem bersepadu yang menyeluruh. Ini merangkumi subjek bukan akademik yang dapat mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan. Oleh itu, pendidikan secara holistik dapat menyediakan para pelajar untuk menghadapi cabaran masa hadapan. 

            Setiap pelajar digalakkan untuk menyertai aktiviti kokurikular (CCA).  Melalui CCA, kemahiran berkomunikasi dan sifat kepimpinan pelajar akan diasah. Setiap CCA memerlukan pelajar yang berdisiplin dan komited untuk menghadiri CCA.  Contohnya, jika pelajar menyertai pasukan seragam, pelajar itu perlu berdisiplin dari segi masa, menyediakan pakaian seragam yang kemas dan menghadiri setiap latihan perbarisan.  

            Melalui CCA, sifat kepimpinan pelajar akan diasah kerana pelajar perlu mengetuai sebuah kumpulan dan bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan kumpulan tersebut dengan bimbingan guru. Ada kalanya pelajar perlu membuat cadangan untuk aktiviti-aktiviti perkhemahan dan ini dapat mendidik pelajar untuk bersikap terbuka semasa mempertimbangkan cadangan-cadangan rakan-rakan dan maklum balas yang diberikan oleh para guru. Nilai-nilai ini berguna untuk pelajar bagi menghadapi cabaran masa hadapan.   

            Pada setiap minggu, pelajar perlu melalui Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) yang dapat memupuk nilai-nilai murni dan sikap positif dalam menguruskan masalah dalam kehidupan. CCE juga dapat menerapkan kehidupan yang lebih sihat dan positif - contohnya apabila guru menunjukkan sebuah video tentang isu-isu kekeluargaan.

            Kemudian, guru itu akan mengadakan perbincangan secara kelas. Ada kalanya, pelajar berbincang secara berkumpulan dan setiap pelajar perlu melibatkan diri dalam aktiviti tersebut. Selepas berbincang secara berkumpulan, setiap kumpulan perlu membuat pembentangan di hadapan kelas tentang idea-idea mereka seperti cara-cara merapatkan hubungan antara ahli keluarga dan masyarakat. Ini dapat menyemai sikap positif dan pemikiran lebih matang sekiranya pelajar menghadapi cabaran dalam kehidupan kelak. 

            Selain daripada mempunyai keupayaan untuk mengatasi masalah pada masa hadapan, pelajar yang berfikiran matang akan mengetahui bahawa mereka perlu bersikap berdaya saing pada zaman globalisasi ini. Subjek seperti ilmu alam akan membuatkan pelajar lebih prihatin tentang keadaan alam sekitar dan kesan pembangunan terhadap dunia. Subjek sejarah pula akan mendedahkan pelajar kepada hubungan di antara Singapura dan dunia serta kepentingan sistem ekonomi, politik dan sosial yang mantap untuk kemajuan negara. 

            Bahasa Inggeris dan bahasa ibunda memainkan peranan penting dalam mempersiapkan pelajar untuk masa hadapan.  Oleh kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa universal, bahasa Inggeris merupakan bahasa asas untuk berkomunikasi di tempat kerja, lebih-lebih lagi apabila kita berurusan dengan pelbagai bangsa. Pelajar yang fasih dan mahir berbahasa Inggeris akan mudah berurusan dengan lebih ramai orang, lantas mengembangkan perniagaannya jika dia seorang peniaga.  

            Sebaliknya, seseorang yang tidak mahir berbahasa Inggeris akan menghadapi lebih banyak tekanan apabila menempuh cabaran, seperti mudah ditipu orang dan kurang mendapat teman. Bahasa Inggeris memudahkan pelajar menimba ilmu dan menyerap pengaruh Barat manakala bahasa ibunda akan memastikan pelajar melestarikan budaya, bangsa dan mengekalkan identiti mereka sebagai orang Asia yang berbangsa Melayu, Cina atau India. 

            Seterusnya, pendidikan jasmani juga penting dalam menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran masa hadapan. Pendidikan jasmani memastikan pelajar bersenam dan mempunyai badan yang cergas dan otak yang cerdas. Ilmu yang didapati daripada pendidikan jasmani juga membuatkan pelajar tahu cara-cara melakukan senaman dengan betul, pemakanan yang seimbang dan mendedahkan pelajar kepada pelbagai jenis sukan seperti badminton, bola jaring dan sukan lasak yang menyeronokkan. Dengan ilmu ini, pelajar akan lebih yakin untuk bersenam dan menjadikan sukan sebagai aktiviti riadah semasa remaja hingga dewasa kelak. 

            Kesimpulannya, pendidikan secara holistik dapat menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran masa hadapan.  Melalui program-program dan pendidikan yang holistik, pelajar dipersiapkan dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang akan membantu mereka untuk menjadi warga yang prihatin dan berdaya saing.

 

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

Cetusan minda Ruzaini B Abdul Rahman

3 Integrity

 

 

Deskriptif 3 (EVG)


Hajat tidak kesampaian 

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

            Sejak dua puluh tahun yang lalu, Sekolah Cenderawasih tidak pernah menjulang Piala Hoki antara sekolah. Buat julung-julung kalinya, kami menewaskan setiap sekolah di watan. Pesaing utama kami ialah Sekolah Mount Sophia juga ditundukkan oleh kami. Dengan kedudukan kami yang selesa di tempat pertama, Majlis Persatuan Hoki Kebangsaan telah bersetuju untuk menaja sekolah kami untuk menyertai perlawanan persahabatan di seberang tambak. 

            Aku dan pemain-pemain hoki yang lain berasa amat teruja dan ghairah kerana diberi peluang keemasan untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan. Hari silih berganti, kini saat yang kami nantikan menjelang tiba. Namun dalam keceriaan, naluri aku sebaliknya. Hatiku berasa kurang senang. Walauapa pun, aku cekalkan hati dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. Pasukan hoki aku pergi ke Kodiang, Kedah, Malaysia dengan menaiki koc. Perjalanan ke Kodiang memakan masa tujuh jam setengah. Kami diiringi oleh dua orang guru iaitu Cikgu Shafie dan Cikgu Lee serta pelatih pasukan kami, Encik Jalal. Sepanjang perjalanan, kami ceria dan menyanyi bersama-sama untuk menghilangkan kebosanan. 

            Namun langit tidak selalu cerah. Suasana yang ceria dan girang berubah menjadi gelap dan murung. Koc yang kami naiki, tiba-tiba melanggar sebuah kereta di hadapan. Pemandu bas tersebut menekan brek kecemasan secara mendadak mengakibatkan kepala kami terhantuk ke hadapan. Beberapa pelajar mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan tangan.  

            Itu bukan penghujungnya pengalaman terperangkap di dalam bas persiaran yang malang itu. Ketiga-tiga orang guru berusaha menelefon talian kecemasan tetapi usaha mereka sia-sia sahaja. Kami berada di kawasan terpencil, maka khidmat penerimaan gelombang radio dan telekomunikasi agak terhad. Kami buntu. Tidak tahu untuk melakukan apa-apa. Tiba-tiba, kami terhidu bau minyak petrol.  Itu jelas menandan bahawa tangki minyak bas pasti bocor. Semakin lama kami terperangkap di dalam bas, bau minyak petrol semakin kuat. Kami semakin berasa cemas. Kami pasrah dengan takdir yang menimpa kami. 

            Tiba-tiba, akal di dalam otak mula menyala. Satu jalan keluar untuk menyelamatkan kami semua. Satu cara ialah dengan mengetuk tingkap kecemasan untuk bebaskan kami. Kebetulan aku duduk di tepi tingkap kecemasan. Aku terus mencapai pengetuk dan mengetuk tingkap kecemasan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Dengan berkat usaha kami bersama, hasil bantuan daripada penduduk setempat. kami dapat mengeluarkan kesemua mangsa dari dalam bas yang malang tersebut.  

            Letupan yang kuat daripada bas tersebut menghadirkan rasa gerun di dalam jiwa kami. Pihak pasukan kecemasan tiba di lokasi sejurus itu. Aku dan yang lain dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

            Peristiwa hitam itu berlaku sepuluh tahun yang lalu, namun pengalaman itu masih segar dan sering bermain di dalam ingatan. Kini, Aku seorang jurulatih hoki sekolah Cenderawasih.  

            Walaupun terkilan kerana tidak dapat beraksi di perlawanan persahabatan dengan pasukan di seberang tambak, aku berasa bersyukur dan terharu. Terharu dengan semangat kerjasama dan kommitmen yang disumbangkan oleh setiap pemain di gelanggang hoki mahupun dalam saat-saat kecemasan. Bak pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. 

 

 

 

~ ~ ~ ~ ~

 

Cetusan minda Muhamad Sahbirin B Rhamdan

5 Dynamic