Bincangkan bagaimana nilai-nilai murni boleh menyumbang
kepada kemajuan sesebuah negara.
~ ~ ~ ~ ~
‘Rosak badan kerana penyakit, rosak bangsa
kerana laku’ membawa maksud bahawa penyakit yang dihidapi itu boleh merosakkan
keelokan rupa kita, begitu juga kelakuan yang keji itu boleh merosakkan nama
baik bangsa kita. Walaupun peribahasa
ini memperkatakan bahawa kelakuan seseorang itu mencerminkan bangsanya, ini
boleh dikaitkan dengan nama baik sesebuah negara. Kelakuan yang keji itu boleh
merosakkan nama baik negara. Rakyat yang mengamalkan nilai-nilai murni dapat
mengharumkan nama baik sesebuah negara dan menyumbang kepada kemajuan sesebuah
negara.
Pertama, jika rakyat sesebuah negara
mengamalkan nilai ketabahan, negara itu boleh mengatasi masalah-masalah yang
menghalang sesebuah negara itu daripada maju. Jika rakyat negara itu senang
berputus asa, negara itu tidak akan maju kerana mereka tidak akan dapat
mengatasi masalah yang dihadapi. Rakyat
sesebuah negara haruslah melihat masalah-masalah yang dihadapi sebagai cabaran
yang perlu difikirkan huraiannya.
Sebagai contoh, Singapura mempunyai
cabaran tiada sumber semula jadi terutama air dan terpaksa bergantung kepada
Malaysia. Rakyat Singapura tidak berputus asa bahkan membina beberapa takungan
air di serata Singapura. Bendungan Marina merupakan takungan air yang terbesar
di Singapura dan dapat memastikan supaya lebih banyak air ditakung. Bahkan
usaha untuk mengatasi masalah ini diteruskan sehingga terciptanya Air Baru.
Nilai ketabahan membolehkan Singapura maju kerana tidak perlu lagi bergantung
kepada Malaysia untuk membekalkan air. Kepakaran dalam mencipta Air Baru menarik
perhatian dunia terutama negara-negara yang menghadapi masalah kekurangan air. Oleh
itu, nilai tabah amat penting kerana akan memastikan sesebuah negara itu tetap
gigih berusaha untuk mengatasi masalah yang menghalang kemajuan sesebuah
negara.
Kedua, rakyat sesebuah negara
haruslah mengamalkan nilai hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa
mengira bangsa dan agama. Jika sesebuah negara tidak mempunyai keharmonian
kaum, pergaduhan antara pelbagai kaum akan tercetus. Keadaan sesebuah negara itu
tidak akan aman dan negara itu tidak akan maju kerana rakyatnya sibuk dengan
pergaduhan antara mereka. Mereka tidak akan memberikan fokus semasa
membangunkan ekonomi dan infrastruktur negara.
Sebagai contoh, jika tiada
keharmonian kaum, para pelajar dan para pekerja tidak akan dapat bekerjasama
untuk menuntut ilmu atau menjalankan tanggungjawab mereka sebagai para pekerja
yang produktif. Bahkan rakyat negara itu
akan berasa curiga kepada mereka yang berlainan bangsa dan agama dan sentiasa
berada dalam ketakutan.
Selanjutnya, nilai bekerja keras
akan menyumbang kepada kemajuan negara. Jika rakyat sesebuah negara menyumbang
kepada masyarakat dengan melakukan yang terbaik dalam pekerjaannya, meraka akan
menyumbang kepada kemajuan negara. Contohnya, kemudahan perubatan dan kepakaran
para doktor di Singapura dikenali ramai. Oleh itu, ramai pesakit dari luar
negara yang mendapatkan rawatan di Singapura seperti kembar siam Ganga and Jamuna
yang berjaya dipisahkan. Kejayaan ini memperkenalkan Singapura kepada dunia.
Selain itu, prasarana yang mesra
alam dan perkhidmatan yang baik dan memuaskan membolehkan Lapangan Terbang
Changi memenangi anugerah Lapangan Terbang yang Terbaik Dunia selama tiga tahun
berturut-turut. Oleh itu, mengamalkan nilai bekerja keras dan memberikan yang
terbaik akan menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara.
Selain itu, nilai bergotong-royong
dan bekerjasama amat penting untuk kemajuan sesebuah negara Ini adalah kerana
kerjasama antara rakyat sesebuah negara akan menolong sesebuah negara itu maju
dengan membolehkan rakyatnya bekerjasama untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi
oleh negara itu Dengan adanya kerjasama antara rakyatnya, masalah tersebut akan
diatasi dengan cepat.
Seterusnya, rakyat sesebuah negara haruslah
mengamalkan nilai amanah bak peribahasa ‘berani kena benar, takut kerana salah’
untuk menegakkan kebenaran. Jika sesebuah negara itu sedang menghadapi masalah
dan rakyatnya tiada nilai amanah, akan rosaklah nama baik negara itu. Contohnya,
negara yang pemerintahnya tidak mengamalkan rasuah dan menguatkuasakan
undang-undang yang ketat untuk menghindari rasuah membolehkan negara itu maju
kerana ramai peniaga dari dalam dan luar negara akan berurusan dengan negara
tersebut.
Kesimpulannya, nilai-nilai murni
seperti keharmonian kaum, ketabahan, amanah, bekerjasama dan rajin bekerja
untuk memberikan yang terbaik akan menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara.
Tanpa nilai-nilai murni, sifat-sifat buruk rakyat sesebuah negara akan
menghambat kemajuan negara tersebut.
~ ~ ~ ~
~
Cetusan minda Siti
Nurul Hidayah Bte Hyder
4 Enterprise
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.